Sebanyak 10 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan mulai Sabtu ini meibatkan sebahagian besarnya di Sabah.- Gambar hiasan.

BALIK PULAU – Tindakan dua individu cuba menyelinap keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bayan Lepas di sini membawa padah selepas masing-masing dikompaun RM5,000.

Kedua-duanya terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun dan wanita berusia 23 tahun itu dikenakan kompaun ketika sepasukan polis menjalankan rondaan pematuhan PKPD di kawasan berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kompauan pertama dikeluarkan terhadap lelaki yang didapati sedang melangkah keluar dari pagar halangan sempadan PKPD di tepi jalan Bayan Lepas pukul 7.30 pagi.

Anbalagan.

“Ketika disoal, lelaki berkenaan memberitahu ingin keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan munasabah lain.

“Bagi kes kedua pula, seorang wanita ditahan pada jam 11.45 pagi ketika pihak polis mendapati dia sedang keluar dari halangan sempadan melalui jejantas pejalan kaki di Jalan Sultan Azlan Shah.

“Wanita itu memberi alasan keluar untuk membeli makanan namun kelihatan turut membawa topi keledar bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua individu tersebut didapati melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 11(3) Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 2021.

Dalam perkembangan sama, Anbalagan menasihatkan penduduk kawasan PKPD untuk terus mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

PKPD Mukim 12  membabitkan 13 lokaliti sekitar pekan Bayan Lepas iaitu Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai dan  Bayan Tiara.

Turut terbabit ialah Taman Ara Indah, Kampung Bukit, Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit. – MalaysiaGazette