Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Dr Jemilah meninjau hari pertama pemberian vaksin AstraZeneca di PPV Mega Spice Arena, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Kerajaan Pulau Pinang tidak akan meneruskan hasrat mendapatkan sendiri vaksin Covid-19 untuk penduduk di negeri itu.

Sebaliknya, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan, pihaknya kini bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan untuk memastikan bekalan vaksin. 

Chow Kon Yeow.

Jelas beliau, perkara itu diputuskan susulan kerajaan pusat memberi jaminan setengah juta bekalan vaksin akan ditambah dalam tempoh terdekat ini.

“Selain itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin sewaktu lawatan ke negeri ini minggu lalu juga memberi jaminan pemberian vaksin kepada rakyat negeri ini akan dicapai melalui program PICK. 

“Komitmen diberikan kerajaan pusat menunjukkan soal pembelian sendiri vaksin tidak lagi menjadi isu,” katanya.

Chow Kon Yeow meninjau hari pertama pemberian vaksin AstraZeneca di PPV Mega Spice Arena, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Spice Arena hari ini.

Turut hadir, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr. Asmayani Khalib dan Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin.

Mengulas mengenai jumlah pendaftaran vaksin AstraZeneca, Kon Yeow memberitahu, seramai 112,350 penduduk negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kategori telah mendaftarkan untuk mendapatkan vaksin tersebut.

“Daripada jumlah itu, 80,422 didaftarkan individu berusia 18 hingga 59 tahun manakala bagi warga emas berusia 60 ke atas sebanyak 31,928.

“Pemberian vaksin ini akan berlangsung hari ini hingga 27 Julai depan dengan kapasiti tiga hari pertama sebanyak 1,000 dos setiap hari.

Chow Kon Yeow meninjau PPV Mega di Spice Arena hari ini.

“Bagaimanapun, bermula Khamis ini, kapasiti pemberian vaksin dinaikkan kepada 3,000 dos sehari pada Isnin hingga Jumaat manakala 2,000 dos pada hujung minggu,” katanya.

Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri akan menumpukan perhatian kepada pengoperasian PPV awam dan swasta serta pengurusan tenaga kerja yang optimum bagi membolehkan proses pemberian vaksin dapat diselesaikan pada waktu yang ditetapkan iaitu Oktober.

“Dengan penambahan bekalan vaksin itu kerajaan negeri mensasarkan pemberian vaksin kepada antara 15,000 hingga 20,000 penduduk sehari berbanding antara 10,000 hingga 15,000 sehari ketika ini. 

“Kita percaya peningkatan penerima vaksin itu boleh mencapai sasaran imuniti kelompok pada Oktober tahun ini atau mungkin lebih awal iaitu pada Ogos atau September,” ujar Kon Yeow. – MalaysiaGazette