KUALA LUMPUR – Polis menahan lapan individu yang didapati berpesta minuman keras dalam sambutan hari jadi yang diadakan secara tertutup di sebuah kondominium mewah di Jalan Pinang hari ini.
Kelapan-lapan individu melibatkan tiga wanita dan lima lelaki dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.
Tangkapan kali ini tidak melibatkan penggunaan dadah cuma mereka berpesta minuman keras namun setiap individu akan dikenakan denda sebanyak RM4,000 kerana melakukan aktiviti sosial yang dilarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh Fasa pertama ini.
Menurut Mohamad Zainal, tangkapan hari ini juga menjadikan seramai 40 kompaun telah dikeluarkan pihaknya atas kesalahan mengadakan parti persendirian (private party) dalam tempoh PKP Penuh Fasa pertama.
Jumlah itu melibatkan sebanyak 69 kompaun telah dikeluarkan dalam tempoh 1 Jun sehingga hari ini.
“Seperti mana yang anda maklum dalam sehari dua ini kita juga telah menangkap beberapa individu yang terlibat parti persendirian kerana mereka ini tahu pusat-pusat hiburan ditutup jadi mereka pergi ke kondominium mewah bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya ketika membuat pemantauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Justeru, Mohamad Zainal memberi amaran agar mana-mana individu membatalkan niat untuk mengadakan parti persendirian walaupun tertutup.
Dalam pada itu, beliau berkata, masih terdapat kompaun yang dikeluarkan oleh IPD Dang Wangi atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika memasuki premis.
Menurutnya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam sejak lebih setahun yang lalu.
“Selain kompaun terhadap aktiviti terlarang ini kita masih keluarkan kompaun terhadap kesalahan-kesalahan biasa yang mana individu apabila masuk premis membeli keperluan asas mereka gagal membuat imbasan MySejahtera, ada juga yang masih tidak memakai pelitup muka dengan betul seperti mana saranan KKM, ada yang langsung tidak pakai pelitup muka masih lagi berlaku walaupun kita sudah kuat kuasa undang-undang lebih setahun.- MalaysiaGazette