Bangunan Parlimen utama
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Seramai 160 pemimpin muda daripada Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini mendesak kerajaan membuka semua sidang Parlimen yang tertangguh selama lima bulan.

Kesemua mereka mahu Perikatan Nasional (PN) memanggil sidang Parlimen dengan segera bagi menangani pandemik Covid-19 yang belum berkesudahan.

“Biar pun Kerajaan PN menggunakan pengurusan wabak sebagai alasan kepada Proklamasi Darurat dan penggantungan Parlimen, langkah ini jelas hanyalah satu wayang politik mereka apabila kes Covid-19 bertambah meruncing dengan kes kematian mencecah lebih 100 orang setiap hari.

“Sejak bermulanya PKP yang pertama pada Mac 2020, pemimpin politik pembangkang dan ahli-ahli pemikir dalam masyarakat terus memberikan idea dan cadangan penyelesaian secara konsisten kepada kerajaan.

“Malangnya, kerajaan tetap degil malah kerap mengulangi kesilapan yang sama,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh dua Naib Presiden MUDA, Dr Thanussha Francis Xavier dan Lim Wei Jiet; Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi; Bendahari Agung MUDA Amira Aisya; AJK Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi; Pengarah Komunikasi AWAN Nasional, Anis Afida; Naib Ketua Wanita Muda Amanah, Fatihah Salahuddin serta Ahli Jawatakuasa Kebangsaan DAPSY Kebangsaan, Yu Ong Ching selain Ketua Pemuda Amanah negeri dan Pengerusi DAP bahagian.

Antara lain, mereka berkata, ruang demokrasi perlu dibuka semula supaya satu rancangan menyeluruh dapat dibentuk bagi mengemudi negara keluar daripada kancah Covid-19 yang berpanjangan.

“Kerajaan perlu terima, era kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir. Sekarang adalah masanya kerajaan mengakui kelemahan diri dan menerajui pendekatan masyarakat menyeluruh yang sebenar-benarnya dengan memanggil persidangan Parlimen,” ujar mereka.

Kenyataan lima muka surat itu turut berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang ditubuhkan pada tahun lepas melihat bahawa Parlimen berupaya menjadi medan kerjasama tulen antara pelbagai parti.

Jelas mereka, ia adalah platform bagi PN untuk menyelaras usaha memerangi pandemik secara bersama menerusi pendekatan dwipartisan.

“Jawatankuasa-jawatankuasa ini perlu diberikan sumber dan tenaga kerja yang secukupnya serta akses menyeluruh kepada data-data dan pakar-pakar merentasi bidang. Jawatankuasa-jawatankuasa ini juga berpotensi berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan keseragaman antara kementerian.

“Meskipun Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengambil alih pengurusan Covid-19 sejak Mac 2020, masih terdapat pelbagai kepincangan antara kementerian dan flip-flop yang akhirnya menjejaskan kehidupan dan mata pencarian rakyat,” jelas mereka.

Mesyuarat itu  telah memperincikan bahawa pengumuman dan pendirian bercanggah antara kementerian biar pun negara telah melalui beberapa kitaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SOP yang tidak berasaskan fakta dan mengelirukan serta wujud penguatkuasaan SOP dua darjat.

“Anrata lain, keengganan melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran walaupun mengakui kebanyakan kes tanpa gejala sudah menular dalam masyarakat, keengganan menambah perbelanjaan bagi membantu rakyat sehinggakan kita terpaksa menyeluk simpanan pencen sendiri serta kelembapan Mobilisasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan – agihan 3.5% sejak dilancarkan tersasar jauh dari sasaran sebenar 80% menjelang bulan Disember 2021,” kata mereka. – MalaysiaGazette