Employees Provident Fund EPF i-Citra withdrawal RM5,000
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR- Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM19.29 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 31  Mac 2021, meskipun berdepan dengan persekitaran tidak menentu berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi memberangsangkan suku pertama disokong oleh pemulihan ekonomi global yang bermula sejak separuh kedua tahun lalu.

KWSP juga yakin pelaksanaan program vaksinasi serta sokongan daripada dasar fiskal dan kewangan di seluruh dunia akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.

“Walaupun terdapat kebimbangan berkaitan inflasi, ia tidak menjejaskan tren positif dalam pasaran ekuiti. KWSP mengambil peluang untuk menstruktur pegangan portfolio ekuiti kami kepada saham yang pada asasnya kuat tetapi dinilai rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekuiti yang menyumbang 74 peratus kepada jumlah pendapatan kasar, mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.28 bilion, manakala instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM3.92 bilion.

Kelas aset Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing menyumbang RM0.71 bilion dan RM0.38 bilion.

Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat, pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM19.24 bilion.

Pada akhir Mac 2021, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM981.71 bilion, yang mana 36 peratus  diperuntukkan dalam pasaran luar negara.

Bagi suku tahun pertama, pelaburan luar negara KWSP telah menyumbang sebanyak RM11.15 bilion atau 58 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan, terutamanya oleh ekuiti luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast