Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipohon mendapatkan respon mengenai penubuhan kerajaan darurat daripada pemimpin politik di negara ini.

Respon itu mungkin boleh dikemukakan ketika majlis menghadap beberapa pemimpin politik dengan Seri Paduka Baginda tidak lama lagi.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, cadangan daripada mereka boleh dipertimbangkan terutama dalam usaha menangani isu penularan Covid-19.

“Saya melihat ada tiga bentuk jemaah menteri darurat yang dicadangkan iaitu pertama terdiri daripada semua pemimpin parti politik, kedua terdiri daripada sejumlah ahli parlimen mewakili semua parti politik dan ketiga, sebuah jawatankuasa seperti MAGERAN yang menggantikan fungsi jemaah menteri.

“Ketiga-tiga bentuk jemaah menteri hanya boleh berlaku dalam tempoh darurat atau ketika satu ordinan darurat yang membenarkan bentuk sedemikian masih berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Tambah Wan Ahmad, langkah-langkah ke arah itu dapat direalisasikan jika tempoh darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos depan.

Tanpa darurat, ujar beliau, cadangan tersebut tidak boleh dilaksanakan disebabkan berlaku percanggahan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana perlantikan ahli Jemaah Menteri selain PM (Perdana Menteri) adalah mengikut nasihat PM, begitu juga syarat pelantikan ahli Kabinet. Selagi peruntukan Perkara 40(1) dan Perkara 43 tidak dipinda maka Agong tidak boleh menentukan sendiri ahli jemaah menteri mengikut budi bicara Seri Paduka.

“Seperti nama Kabinet Darurat, ia mestilah berlaku dalam tempoh darurat,” tegasnya lagi.

Keadaan sekarang membolehkan kerajaan darurat dilaksanakan, ordinan boleh digubal setelah tujuan darurat pada hari ini diperluaskan melalui proklamasi baharu oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, sebelum keputusan untuk memperkenankan bentuk Jemaah Menteri darurat seperti yang dicadangkan tadi, Majlis Menghadap itu boleh dimanfaatkan bagi Agong meninjau pandangan para pemimpin politik,” katanya.

Untuk rekod, pada 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gelaja wabak Covid-19. – MalaysiaGazette