KUALA LUMPUR – Para pemandu teksi terusan berhadapan masalah apabila melalui Sekatan Jalan Raya (SJR).

Jika sebelum ini mereka berdepan dengan isu jumlah kapasiti penumpang kenderaan awam, kini pemandu teksi mengahadapi masalah surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabansga dan Industri (MITI).

Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi Kereta Sewa Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM), Kamaruddin Hussain berkata, pihaknya memohon supaya isu pertindihan prosedur operasi standard (SOP) di SJR diselesaikan segera.

Katanya, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani perlu membantu pemandu teksi menyelesaikan pertindihan SOP yang telah menjejaskan pendapatan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dilaksanakan.

Kamarudin Mohd Hussain.
Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain

“Kenyataan media oleh KPN pada 6 Jun lepas berkaitan surat pengesahan Kementerian atau agensi yang diterima pakai di SJR timbulkan kekeliruan kepada ahli-ahli kami di seluruh negara bahkan tidak mustahil kelirukan anggota polis bertugas di SJR juga.

“Ini berikutan sehingga awal pagi ini, kami telah menerima banyak aduan dari ahli khasnya di Pulau Pinang dan Labuan yang mendakwa menghadapi masalah ketika melalui SJR.

“Mereka telah diminta untuk mengemukakan surat dari MITI malah ada yang mengadu tidak dibenar untuk beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamaruddin juga mempersoalkan adakah pemandu teksi termasuk dalam sektor perkhidmatan awam yang mengikut SOP MKN dibenarkan beroperasi atau sebaliknya.

Sekiranya pemandu teksi diwajibkan memelik surat daripada kementerian tertentu, beliau mahu pihak berkuasa memaklumkan mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette