Petugas kesihatan melakukan persedian sebelum memberi suntikan vaksin jenis Sinovac kepada seorang pesakit terlantar di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam. Foto HAZROL ZAINAL, 08 JUN 2021.

SHAH ALAM – Sejak kerajaan membenarkan hospital dan klinik swasta memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai, kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara terutama di Selangor, mula dapat diatasi.

Antara hospital swasta yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan vaksinasi ialah KPJ Selangor Specialist Hospital (KPJ Selangor) yang berpusat di Shah Alam.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (CEO) KPJ Selangor, Farahiyah Badri, sejak Mac lalu sehingga semalam, pihaknya telah melakukan vaksinasi kira-kira 2,000 termasuk petugas barisan hadapan dan orang awam.

Katanya, hospital itu boleh vaksinasi antara 400 hingga 600 penerima dalam sehari.

“Selain petugas hadapan dan orang awam, kita juga memberikan vaksin kepada pesakit terlantar dengan pemantauan yang ketat.

“Contohnya, hari ini, kita menerima seorang orang awam yang merupakan pesakit terlantar untuk diberikan vaksin.

“Kita ambil pesakit ini dengan ambulans, bawa ke KPJ Selangor dan beberapa pakar serta doktor akan mengurusnya dengan pemantauan dan SOP yang ketat,” katanya kepada MalaysiaGazette di KPJ Selangor di sini, hari ini.

Pesakit yang berumur kira-kira 60-an itu tiba di Bahagian Kecemasan KPJ Selangor pada jam 9.25 pagi, dengan ahli keluarganya diberi penerangan mengenai kesan sampingan jika berlaku.

Menurut Farahiyah, pesakit berkenaan disuntik dengan vaksin Sinovac pada jam 9.56 pagi dan diberi rehat selama kira-kira 40 minit, sebelum dibawa keluar ahli keluarganya dengan ambulans pada jam 10.57 pagi.

Katanya, KPJ Selangor adalah salah satu pusat vaksinasi negara yang memberi suntikan vaksin kepada orang awam bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kami telah memulakan program ini dari April lagi, di mana kami beri suntikan kepada petugas barisan hadapan dan sekarang adalah fasa untuk orang awam.

“Setakat ini daripada kira-kira 2,000 yang sudah divaksinasi, ada yang lengkap dua dos dan yang pertama kali.

“Misalnya, pesakit terlantar yang kita vaksinasi tadi adalah suntikan dos pertama baginya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast