KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) menjunjung kasih dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam mengharung ujian pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Ketuanya, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, baginda telah sama-sama turun padang mencemar duli melihat sendiri barisan hadapan negara yang berjuang mendepani wabak itu.
Katanya, YDPA juga umpama payung tempat rakyat berteduh ketika krisis melanda negara.
“Rakyat masih ingat bagaimana negara menjadi huru-hara seketika apabila secara tiba-tiba Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) meletakkan jawatan pada Februari 2020.
“Dengan kebijaksanaan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, rakyat tenang menghadapi saat getir itu. Sesungguhnya, jasa baginda menyelesaikan krisis pada ketika itu amat dikagumi seluruh rakyat jelata,” katanya yang dipetik Harakahdaily, hari ini.
Menurut Nuridah, begitu juga ketika negara dilanda krisis pentadbiran akibat kerakusan pemimpin pembangkang yang hendak melantik Perdana Menteri mengikut pilihan mereka pada Oktober 2020.
Katanya, YDPA menolak dengan alasan tiada keperluan ketika itu kerana kes Covid-19 sudah mencapai angka ratusan.
“Ini menunjukkan tuanku selalu berfikir secara adil dan mendahulukan kepentingan rakyat.
“Kelulusan Proklamasi Darurat oleh tuanku pada Januari 2021 pula dibuat setelah melihat bilangan pesakit Covid-19 yang mencecah ribuan.
“Tuanku melihat keperluan darurat ini untuk membolehkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berjuang melawan penyakit pandemik ini tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, pembangkang diberi peluang menyalurkan pandangan melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Jelasnya, keanggotaan Jawatankuasa Khas itu terdiri daripada parti kerajaan, pembangkang dan profesional yang berkaitan dalam memberikan input dan pandangan kepada YDPA.
Di bawah proklamasi darurat, ujar Nuridah, semua pihak perlu mematuhi arahan apabila diminta oleh YDPA atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh baginda untuk menggunakan sumber seperti sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset berkaitan dengannya.
Beliau berharap, semua pihak menjunjung kasih YDPA tanpa perlu menimbulkan provokasi dan mencabarnya seolah tuanku tidak mengambil berat keadaan rakyat jelata.
“Jadilah rakyat Malaysia yang menghormati prinsip Rukun Negara. Apa yang perlu dilakukan sekarang, kita sama-sama berganding bahu membantu rakyat yang memerlukan ketika ini.
“Hentikanlah segala tindakan yang merugikan negara dan rakyat amnya,” katanya. – MalaysiaGazette