BUKIT MERTAJAM – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini menarik nafas lega apabila dapat menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan lebih sempurna susulan penerima komputer riba hari ini.
Aktivis Sosial, Muhsin Latheef berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perwira itu berkongsi telefon bimbit bersama adiknya berusia lapan tahun untuk sesi PdPR selama ini.
Jelasnya, lebih setahun dua beradik itu berkongsi peranti memandangkan mereka tidak mampu membeli peranti lain atas faktor kewangan keluarga.
Kata Muhsin, Ruthreswary memaklumkan kesulitan yang dihadapinya untuk menyiapkan kerja sekolah dalam tempoh PdPR tanpa alat peranti komputer.
“Saya dimaklumkan ibu kepada remaja itu orang kelainan upaya (OKU) dan tidak mampu untuk bekerja sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli peranti lain bagi memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar.
“Susulan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa tampil menyumbangkan sebuah komputer riba menerusi Yayasan Permai.
“Akhirnya hari ini saya dan sukarelawan Yayasan Permai mewakili beliau (Annuar) menyampaikan komputer riba itu kepada pelajar terbabit di rumahnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette
Tambah Muhsin, dia mengharapkan pemberian komputer riba itu membolehkan pelajar tersebut lebih proaktif dalam pembelajarannya untuk menduduki SPM tahun depan. – MalaysiaGazette