Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Tidak adil untuk sesetengah kelompok termasuk pembangkang menggelarkan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah kerajaan gagal dek kerana kes positif Covid-19 yang semakin meruncing.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, rakyat negara ini sepatutnya turut melihat keadaan negara luar yang juga sedang bergelut dalam menangani isu penularan Covid-19 di negara masing.

“Adalah amat senang untuk menuding jari kepada satu pihak berbanding kepada rakyat jelata yang bertaburan di merata-rata, sebab itulah kerajaan dijadikan kambing hitam.

“Hashtag #kerajaangagal ini adalah bermotifkan politik sempit semata-mata sedangkan jika dibuat penelitian yang rasional dan objektif prestasi kerajaan tidaklah seteruk itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Negara Jepun misalnya tidak boleh mengisytiharkan darurat disebabkan oleh perlembagaannya yang tidak membenarkan darurat dilaksanakan.

“Maka kini perbincangan hangat sedang berlangsung (di Jepun) untuk meminda perlembagaan.

“Ini sekali gus menjadi petanda bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan kita adalah sesuatu yang betul sehinggakan ia juga mahu dilakukan oleh negara lain.

“Masalah di negara kita kelihatan lebih teruk kerana kekurangan disiplin di kalangan rakyat jelata yang ramai gagal mematuhi SOP dan melaksanakan isolasi kendiri,” jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah contoh menteri PN yang cemerlang dalam tugasnya bersama-sama membendung penularan Covid-19.

Katanya, Ismail Sabri berperanan penting dalam memastikan rakyat negara ini terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan bertanggungjawab untuk memberikan kefahaman kepada rakyat tentang pelaksanaan dasar-dasar kerajaan tentang Covid-19.

“Antara yang paling cemerlang ialah Datuk Seri Ismail Sabri yang saban hari muncul di kaca TV sebagai jurucakap kerajaan bagi memastikan kes-kes Covid-19 terkawal.

“Satu perkara yang boleh dipuji mengenai beliau ialah kesabaran yang beliau tunjukkan ketika menjadi sasaran pengguna media sosial dalam melampiaskan kemarahan.

“Sebelum ini, nama Ismail Sabri juga disebut-sebut akan dilantik ke jawatan TPM, sebagai usaha mengendurkan protes dari UMNO, tetapi sehingga ini belum menjadi realiti,” katanya lagi.

Kamarul Zaman sebelum ini berkata, Ismail Sabri telah membuktikan dirinya layak menjadi tonggak UMNO dalam kerajaan PN selaras kedudukannya sebagai pemimpin senior parti dalam kerajaan. – MalaysiaGazette