KUANTAN – Seramai 30 warga emas selamat menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Kompleks Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati proses pemberian vaksin berjalan lancar dan kesemua warga emas memberikan kerjasama walaupun ada kalangan mereka yang agak bimbang dan takut di peringkat permulaan.
Zainal Arifin Zainudin, 65, yang menerima dos pertama pada 5 Mei lalu berkata, dia sering merujuk kepada petugas kesihatan mengenai vaksin dan mengelak daripada mempercayai khabar angin.
“Mengambil vaksin ibarat mencegah itu lebih baik dari mengubati,” ujarnya yang sudah lima tahun bersama komuniti di situ.
Bagi Hasnah Jusoh, 87, berasal dari Beserah dan sudah lapan tahun menetap di Kompleks Asnaf MUIP, dia tidak takut untuk disuntik kerana sudah biasa dengan jarum.
“Tak takut, sudah kalis cucuk jarum sebab pernah duduk lama sakit di hospital disebabkan sakit jantung,” katanya.
Hasnah juga mengakui ada penyakit lain seperti gout dan bagi ibu tunggal itu dia tidak merasa sakit semasa menerima dos kedua suntikan vaksin.
Warga emas berusia 71 rahun dikenali Zunita Eng Ming Kun Abdullah pula menzahirkan rasa bersyukur kerana menerima dos kedua suntikan vaksin ini dengan selamat.
ARTIKEL BERKAITAN :
Warga Emas Terima Baik Suntikan Vaksin Covid-19
Vaksinasi harian catat rekod tertinggi semalam, lebih 1.18 juta lengkapkan dos kedua
“Rasa tak takut kerana cucuk vaksin ramai-ramai dengan kawan di Kompleks Asnaf MUIP dan masa menerima suntikan dos pertama, rasa biasa sahaja.
“Memang ada orang cakap macam-macam, ada yang meninggallah tapi tengok orang ramai cucuk nampak baik, jadi jangan takutlah yang mana belum cucuk vaksin,” jelas Zunita.
Sehingga kini, sebanyak 26 peratus daripada lebih 65,000 populasi keseluruhan warga emas selamat menerima suntikan vaksinasi Covid-19 di 12 Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di Kuantan.
Pegawai Perubatan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Daerah Kuantan, Dr Rasyedah Abdul Rahman berkata, daripada jumlah tersebut seramai 246 warga emas dari 14 instutusi warga emas telah selamat menerima suntikan dos kedua. – MalaysiaGazette