Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan keluar selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu pertemuan khas bersama pemimpin utama parti politik di Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangannya kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bahawa tindakan melanjutkan proklamasi darurat tidak membantu mengurangkan pandemik Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, pelanjutan tempoh darurat yang sepatutnya berakhir Ogos ini hanya akan menjejaskan ekonomi negara khususnya rakyat berpendapatan rendah (B40).

“Kami bayangkan penerusan darurat ini tidak membantu mengurangkan permasalahan Covid-19 dan akan menjejaskan ekonomi terutama rakyat di peringkat BAWAHAN.

“Kita tengok semua langkah boleh dilakukan tidak memerlukan darurat. Kita merayu kepada Tuanku menghalang penerusan ini (darurat) sedaya upaya.

“Walaupun Tuanku patuh kepada semangat raja berperlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita di luar Pintu 2 Istana Negara, hari ini.

Terdahulu Ketua Pembangkang itu menghadap YDAP bagi perjumpaan khas bersama pemimpin utama politik di Pintu 2, Istana Negara, kira-kira 10.35 pagi tadi.

Bagaimanapun Anwar yang kelihatan menaiki kereta Jaguar berwarna hitam beredar dari Istana Negara kira-kira 11.56 pagi tadi.

Terdahulu, perjumpaan khas itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tiba melalui Pintu Utama Istana Negara, kira-kira jam 7.49 pagi tadi.

Bagaimanapun kenderaan jenis Alpahard berwarna hitam yang membawa Muyhididn kelihatan beredar jam 8.55 pagi.

Anwar juga merakamkan penghargaan kepada YDPA kerana memberi ruang kepada pembangkang untuk membawa dan membentangkan isu-isu semasa negara termasuk pandemik Covid-19.

“Saya terharu kerana Tuanku amat arif tentang perkembangan-perkembangan semasa terutama pandangan pihak lain.

“Tuanku turut mengundang beberapa pasukan termasuk Prof Adibah

“Tuanku sebenarnya menyampaikan hal-hal sedemikian kerana kearifan dan maklumat yang Baginda perolehi,” katanya.

Anwar juga berharap semua pihak termasuk parti pemerintah mengambil perhatian kepada titah Tuanku itu.

“Sepertimana yang disebut oleh Tuanku Sultan Selangor semalam tentang pengagihan vaksin dengan lebih berkesan,” katanya.

Anwar juga menyampaikan kekecewaan beliau terhadap titah YDPA supaya sepanjang darurat, sidang Parlimen masih boleh dilaksanakan seperti biasa tetapi tidak dilakukan.

“Saya jelaskan hal-hal ini kerana ada persepsi yang berbeza seolah-olah hal ini tidak dilakukan.

“Kita bincang soal kedudukan dalam negara, keyakinan rakyat serta pelabur dalam dan luar negara yang meminta satu perubahan kepada baik dalam perbincangan yang kita mulakan.

“Tuanku berlapang dada dengar semua pandangan kalau satu jam cukup, saya juga sediakan laporan, kertas kajian dan saya jelaskan, Tuanku mendengar dengan teliti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette