PUTRAJAYA – Seramai 2,256,257 warga emas telah mendafra untuk menerima vaksin pada fasa kedua.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,909,266 individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 151,309 dos telah diberikan kepada warga Malaysia semalam, bilangan tertinggi setakat ini.
Angka itu akan ditingkatkan kepada 200,000 dos sehari menjelang hujung bulan depan, ujarnya.
“Cabaran kita adalah untuk pastikan kita konsisten untuk dapatkan kadar lebih 150,000 dos sehari dan sasaran menjelang Julai untuk kita dapat capai 200,000 dos sehari,” kata Khairy pada sidang media mingguan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di sini hari ini.
Sementara itu, Khairy berkata,sebanyak 12,774,132 individu yang berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin.
Manakala seramai 4,129,168 individu secara keseluruhan pula telah mendaftar bagi program pemberian vaksin fasa kedua, jelasnya. – MalaysiaGazette