Gambar pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah yang dikongsi akaun Instagram rasmi Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Menurut akaun rasmi Instagram Istana Negara, sesi itu berlangsung selama satu jam bermula 8 pagi tadi.

Katanya, mesyuarat pra-Kabinet itu adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Sejak awal pagi tadi, para pengamal media telah mula berkumpul di hadapan pintu pagar Istana Negara selepas terdengar desas-desus yang mengatakan para pemimpin utama politik negara akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Kurang dua jam selepas Muhyiddin meninggalkan Istana Negara, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tiba kira-kira jam 10.35 pagi tadi.

Difahamkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijangka hadir ke Istana Negara, petang nanti.

Selain itu, turut difahamkan, Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menghadap Yang di-pertuan Agong esok.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan, Presiden Parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menerima jemputan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast