GEORGE TOWN – Selepas pelbagai kontroversi serta desakan dibuat berhubung Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), kerajaan Pulau Pinang masih tetap dengan pendirian untuk meneruskan projek tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah melakukan banyak langkah mitigasi, melaksanakan pelan sosioekonomi untuk nelayan, dan memperkenalkan inisiatif hijau untuk pembangunan PSR.
Jelas beliau, pelan besar dan komprehensif untuk meningkatkan komuniti nelayan menerusi PSR tidak pernah dilakukan dalam mana-mana projek penambakan di negara ini.
“Kita tidak perlu memilih antara PSR, dan alam sekitar serta nelayan. Kemajuan teknologi serta kejuruteraan membolehkan kita membangunkan PSR dan pada masa sama tetap memelihara alam sekitar dan masyarakat.
“Kita juga tidak pernah menafikan bahawa projek berkaitan akan memberi kesan malah selalu berkongsi dengan masyarakat tentang rancangan untuk mengurangkan kesannya, mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut, dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan untuk nelayan dan penduduk setempat lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kon Yeow, faedah sosioekonomi yang bakal diperoleh melalui PSR ke Pulau Pinang yang mempunyai nilai lebih besar daripada pulangan wang harus dipertimbangkan.
“Menerusi PSR, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang dirangsang oleh pelaburan domestik serta antarabangsa akan memberikan kestabilan kewangan dan keselamatan kepada rakyat.
“Selain itu, inisiatif hijau seperti pembangunan dan pengangkutan rendah karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan penyediaan ruang terbuka akan menyumbang ke arah peningkatan gaya hidup serta kesejahteraan awam selama beberapa dekad yang akan datang,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri percaya semua faedah yang dirancang menerusi PSR dapat dicapai dan dalam masa sama syarat kelulusan ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar dapat dipatuhi sepenuhnya.
“Justeru, tidak ada keutamaan yang harus ditetapkan oleh kerajaan yang mana kelulusan projek ditarik semula meskipun semua syarat kelulusan telah dipenuhi,” kata Kon Yeow. – MalaysiaGazette