Pekerja-pekerja penjagaan kesihatan sedang melakukan ujian saringan kepada penduduk Taiwan dalam usaha menangani penularan Covid-19. foto Reuters

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) telah memasuki fasa ketiga sepanjang 17 bulan
sejak  virus Corona mula bertapak di negara kita. Adakah kita sedang mengalami
kegagalan? Ke mana hala tuju tahap kesihatan negara? Masih adakah sinar di hujung jalan?

Kadang kala, kita harus membuka mata dan melihat dalam konteks yang lebih meluas lagi. Terdapat beberapa negara yang telah berjaya menurunkan kadar jangkitan COVID-19 kepada yang paling minimum. Ada juga beberapa negara yang telah turut mengekalkan kadar jangkitan sifar untuk beberapa ketika, ada yang juga mempunyai satu kematian sepanjang setahun sejak pandemik ini bermula.

Kejayaan ini bukanlah sekadar bergantung kepada kaya atau miskinnya sesebuah negara itu, juga tidak tertakluk kepada kadar kemajuan sesebuah negara. Sejujurnya, sekiranya kita tidak dapat mengikut sepenuhnya pasti ada sesuatu pengajaran yang dapat kita ambil daripada kejayaan negara-negara berikut.

Bhutan merupakan salah sebuah negara miskin yang hanya mempunyai 337 doktor untuk
770,00 orang rakyat, bersempadan dengan China dan India yang mengalami kesan teruk
akibat pandemik, namun hanya mencatat satu kematian disebabkan pandemik ini.

Kejayaan Bhutan menangani pandemik ini disumbangkan oleh beberapa faktor termasuklah polisi yang berkesan, komunikasi yang baik dan kepercayaan yang teguh terhadap pemimpin dan insititusi kerajaan. Walau bagaimanapun, terdapat satu lagi faktor yang telah dikenalpasti sebagai penyumbang kepada kejayaan tersebut iaitu Gross National Happiness Index, suatu konsep yang mengambilkira komponen bukan ekonomi termasuklah kesihatan sebagai suatu faktor yang penting bagi kemajuan yang mapan.

Raja Bhutan sendiri telah melancarkan kempen bantuan berjumlah $19 juta yang disasarkan kepada ribuan rakyat yang terkesan akibat pandemik. Pihak kerajaan telah menghantar pakej penjagaan yang mengandungi pensanitasi tangan dan multivitamin kepada golongan berusia.

Tidak ketinggalan ahli parlimen menyumbangkan gaji mereka kepada usaha kemanusiaan ini dan rakyat sama-sama menghantar makanan kepada petugas tidak kira waktu. Pengusaha hotel menyediakan fasiliti kuarantin dan rakyat secara amnya menawarkan diri masing-masing untuk menjadi sukarelawan dalam pelbagai usaha bantuan kemanusiaan.

Kerjasama yang erat daripada pihak pemimpin dan rakyat ini telah menunjukkan hasil yang menakjubkan dan negara lain termasuk Malaysia bolehlah mengambil iktibar daripada contoh yang ditunjukkan oleh negara kecil ini.

Mauritius adalah salah sebuah negara yang telah berjaya mengekalkan status tiada jangkitan setempat selama empat bulan. Kerjasama yang rapat antara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak tempatan dapat mengawal penularan dalam jangka masa enam minggu.

Prinsip yang diamalkan oleh Mauritius dalam menangani wabak Covid-19 ini adalah
prinsip asas dalam menangani mana-mana wabak iaitu pencegahan, pengasingan, ujian
pengesahan dan rawatan.  Mereka juga mempunyai sistem kesihatan awam yang teguh dan baik, yang mana kerjasama di antara pihak di bidang kesihatan dan pihak di bahagian penguatkuasaan dan pentadbiran begitu utuh.

Selain itu, Mauritius juga melakukan sekatan yang ketat di sempadan negara. Sehingga kini, Mauritius telah memberi vaksinasi kepada 13.3% daripada populasi yang turut membantu dalam mengurangkan penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat mereka.

Umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat merupakan antara negara yang mengalami
masalah untuk mempercayai wabak pandemik ini pada mulanya. Kematian pertama yang dicatatkan pada Mac 2020, perubahan pucuk pimpinan pemerintahan yang menyaksikan perubahan dalam kepercayaan rakyat terhadap pemerintah dan faktor kenaikan kes yang mendadak serta kematian akibat jangkitan Covid-19 sedikit sebanyak mengubah persepsi rakyat terhadap pandemik ini.

Di Amerika Syarikat, tindakan menangani pandemik ini amat bergantung kepada pemerintah tempatan. Penutupan secara menyeluruh dan penjarakan sosial telah diamalkan di negeri yang mengalami penularan wabak yang tinggi seperti New York,
Michingan dan Louisiana telah membantu menurunkan keluk penularan.

Kerjasama di antara pihak pemerintah dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kesihatan menyaksikan Program Saringan yang lebih agresif dijalankan termasuklah melakukan ujian pengesanan kepada kontak rapat bagi mereka yang dijangkiti. Mobilisasi peralatan perubatan seperti ventilator dan meningkatkan kapasiti hospital dengan menukar Javitz Center kepada fasiliti perubatan yang mampu menampung 2,000 buah katil turut membantu mengawal penularan dan kadar kematian akibat Covid-19.

Sejak vaksin mula diperkenalkan mulai Disember 2020, sebanyak 52.1% daripada
penduduk telah memperolehi sekurang-kurangnya 1 dos suntikan dan sebanyak 42.3% telah lengkap dua dos suntikan. Kes positif juga berkurangan dalam 20% setiap minggu sejak vaksin mula diperkenalkan. Kini kebanyakan tempat telah boleh melakukan aktiviti seperti biasa tanpa perlu risau tentang penularan wabak itu lagi.

Di negara Asia pula, Taiwan merupakan salah satu daripada negara yang mempunya kadar insiden jangkitan Covid-19 yang agak rendah iaitu 20.7 kes per sejuta penduduk. Hal ini berjaya direalisasikan melalui infrastruktur kesihatan awam yang meluas dan respon yang pantas dan selaras termasuklah dengan membuat saringan awal, sistem pengasingan dan isolasi yang berkesan, menggunakan teknologi secara digital bagi mengenal pasti kes yang berpotensi serta penggunaan pelitup muka dengan meluas.

Sewaktu Covid-19 mula menular, semua penumpang pesawat yang tiba dari Wuhan telah disaring, kemudian di hujung Januari 2020 penumpang yang datang dari negara berisiko tinggi mula menjalani saringan. Kes yang makin meningkat memaksa pihak berkuasa Taiwan untuk menyaring semua yang masuk ke Taiwan mulai awal Februari dan akhirnya menyekat kemasukan mereka yang bukan warganegara atau pemastautin tetap.

Undang-undang yang sedia ada membolehkan pegawai yang berkaitan mengakses maklumat yang boleh membantu mengawal dan menyekat penularan Covid-19 termasuklah memastikan sejarah perjalanan individu dikaitkan dengan kad kesihatan individu supaya hospital dapat mengenal pasti kes yang berpotensi dijangkiti dengan lebih pantas, dengan itu langkah-langkah pengurusan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan efektif.

Selain itu, kontak rapat bagi mereka yang disahkan dijangkiti Covid-19 atau mereka yang pulang daripada negara yang berisiko tinggi diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari dengan pemantauan melalui telefon yang disediakan oleh kerajaan dan pemeriksaan secara fizikal. Langkah ini mengurangkan ketidakpatuhan kepada arahan yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Penggunaan pelitup muka secara menyeluruh juga turut dilaksanakan di Taiwan, tidak kira sama ada seseorang itu bergejala ataupun tidak. Penggunaan pelitup muka dengan sempurna telah terbukti dapat mengurangkan kadar keberjangkitan, sekali gus menurunkan kadar kes jangkitan Covid-19 kepada yang paling minimum.

Permulaan semester baharu yang sepatutnya bermula pada bulan Februari 2020 bagi sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi telah ditangguhkan serta larangan mengadakan majlis secara berkumpulan telah dikuatkuasakan mulai Mac 2020. Pelaksanaan secara menyeluruh ini telah berjaya menghalang penularan wabak Covid-19 dan sehingga 31 Ogos 2020 tiada sekatan yang ketat bagi pergerakan rakyat dan penutupan secara total juga tidak lagi dijalankan.

Walau bagaimanapun kerajaan Taiwan tetap meneruskan program vaksinasi dan sehingga kini lebih 700,000 dos suntikan telah diberi yang meliputi lebih kurang 3% daripada populasi.

Segala langkah yang diambil dari negara-negara yang telah berjaya membendung wabak ini merupakan langkah-langkah yang melibatkan kerjasama di antara semua pihak iaitu arahan dan bantuan secara bersepadu daripada pucuk pimpinan sesebuah negara dan penglibatan serta disiplin kendiri daripada rakyat jelata.

Untuk kita sebagai rakyat dan sebuah negara mencapai kejayaan yang sama seperti negara-negara di atas, adalah menjadi kewajipan untuk kita sama-sama berganding bahu dan mengikut arahan daripada pihak berwajib selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang
berbunyi, “Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat. Maka dia tidak boleh mendengar atau mentaati”.

Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
SU Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak (WARAK) &

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM