Tanah perkuburan Islam dijadikan lokasi pengedaran dadah oleh dua lelaki ditahan polis Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.- Gambar ihsan IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Kubur merupakan kawasan dihormati dalam semua agama kerana ia menempatkan orang yang sudah meninggal dunia.

Namun bagi tahi dadah mereka menggunakan kubur Islam sebagai lokasi mengedar dadah dan kejadian itu dibongkar di Sentul apabila polis menahan dua lelaki baru-baru ini.

Kedua-dua lelaki berusia 21 dan 48 tahun ditahan pada 6 Jun lalu sekitar pukul 1.10 tengah hari, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

“Kedua-dua suspek telah ditahan di tapak perkuburan itu selepas dikesan oleh polis bertindak pelik selain keberadaan mereka di tapak kubur agak mencurigakan penguat kuasa.

“Hasil siasatan ke atas mereka terbongkar kegiatan mereka yang terlibat dalam pengedaran darah di kawasan perkuburan di Sentul untuk tempoh lama.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek polis menemui dadah jenis heroin seberat 25.42 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Eng Lai, ujian air kencing kedua-dua suspek didapati negatif dadah.

Tambah beliau, semakan rekod lampau terhadap kedua-dua suspek juga mendedahkan suspek kedua berusia 48 tahun itu mempunyai 12 rekod kesalahan jenayah lampau dadah dan ditahan selama tujuh hari sehingga 12 Jun ini untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Tiga beradik sekeluarga ditahan bersama dadah di sebuah rumah Flat PPR di Sentul dalam kejayaan pasukan Jenayah Narkotik IPD Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.Ofot Ihsan IPD Sentul

Dalam tangkapan kes kedua pada 7 Jun lalu, polis IPD Sentul sekitar pukul 4 petang berjaya menahan tiga beradik sekeluarga termasuk seorang wanita kerana terlibat dalam pengedaran dadah dan menyimpan barang terlarang itu dalam rumah mereka di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di daerah tersebut.

Suspek pertama lelaki berusia awal 30-an telah ditahan di sebuah flat kos rendah di Jinjang, Kepong.

Menurut Eng Lai, hasil pemeriksaan ke atas pemuda berkenaan polis berjaya menemui dadah jenis ganja seberat 230 gram yang disembunyikan di badan suspek disyaki untuk dijual kepada pelanggan di flat tersebut.

“Susulan tangkapan itu berpandukan suspek telah dibawa ke rumahnya di flat sama. Serbuan dan pemeriksaan di rumah suspek itu polis menahan dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan wanita dipercayai adik beradik kepada suspek pertama itu.

“Kedua-dua suspek berusia 24 dan 23 tahun dan pemeriksaan lanjut di rumah mereka ganja seberat 70 gram telah dirampas dalam bilik mereka.

“Ketiga-tiga beradik itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” ujar beliau.

Jelas Eng Lai, ketiga-tiga mereka ditahan reman antara empat hingga tujuh hari sehingga 13 Jun ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Dengan tangkapan, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan di daerah Sentul.

“Keseluruhan nilai rampasan dadah berkenaan adalah RM2,021 yang bileh dibekalkan kepada 600 pengguna dadah jenis ganja dan 50 orang pengguna heroin,” tegas Eng Lai.- MalaysiaGazette