SEPANG – Pengumuman nama Timbalan Ketua Polis Negara akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Kita sudah beri cadangan dan kita akan umumkan sehari dua lagi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Jawatan tersebut kosong apabila Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik menjawat jawatan Ketua Polis Negara bagi menggantikan menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak pada 30 April lalu.
Berita Harian Online hari ini melaporkan nama calon Timbalan Ketua Polis Negara KPN telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pertimbangan.
Hamzah berkata, Muhyiddin sedang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum penyandang jawatan itu diumumkan.
Antara nama yang disebut-sebut menjawat jawatan itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim. – MalaysiaGazette