Pelatih-pelatih Rumah Puteri Arafiah berkerjasama menyiapkan kelengkapan Pakaian Perlindungan Peribadi (PPE) untuk disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Gombak ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Rumah Puteri Arafiah, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 29 APRIL 2020

PANDEMIK telah mengubah landskap seluruh dunia, Meskipun pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada negara terutamanya dari segi ekonomi, masih ada sudut positifnya iaitu mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.  Ini terbukti apabila pelbagai lapisan  masyarakat tidak kira latar belakang,bangsa,agama membuktikan bahawa mereka adalah masyarakat prihatin dan turut bersama-sama dengan kerajaan menghulur bantuan kepada keluarga terjejas terutamanya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Belia Malaysia melalui Majlis Belia Daerah, Negeri dan badan-badan gabungan yang mempunyai keahlian pelbagai kaum bergabung bagi menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) . Jelasnya hikmah Covid-19 telah menonjolkan kebaikan rakyat, secara individu atau berkumpulan.

Nilai anak muda prihatin terhadap negara terbukti, Mengambil contoh (keprihatinan) pereka fesyen yang bekerjasama dengan sekumpulan 20 anak muda menjahit set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk diserahkan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada peringkat awal negara berdepan Covid-19. Badan bukan kerajaan yang menghantar makanan termasuk keprihatinan individu terhadap jiran tetangga sepanjang situasi Covid-19.

Sikap membantu sesama kita sudah menjadi satu trend yang sangat positif, sekali gus membuktikan perpaduan rakyat negara ini ketika berdepan krisis adalah pada tahap yang sangat memberangsangkan.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berasa bangga kerana dalam krisis ini kita dapat lihat bagaimana mangsa Covid-19 dan penjawat awam, khasnya barisan hadapan tanpa mengira kaum memberikan khidmat yang paling baik untuk mengatasi penularan wabak berkenaan. semangat perpaduan positif dalam menghadapi pandemik Covid-19-19 juga menjadikan setiap rakyat mengambil peduli mengenai individu lain. Justeru, diharapkan sikap positif ini selalu akan dapat diterjemahkan dalam masyarakat kita sebagaimana perpaduan kita ketika menghadapi wabak pandemik.

Rakyat Malaysia harus mempelajari pengalaman yang diperoleh daripada kesengsaraan wabak Covid-19 supaya kita menjadi lebih bersiap siaga pada masa hadapan. sikap perpaduan itu tidak hanya wujud ketika pandemik, sebaliknya dikekalkan pada bila-bila masa dalam apa juga keadaan. Kita seharusnya tetap bersatu tanpa perlu berada dalam keadaan sukar mahupun krisis dan sesungguhnya untuk menjadi negara yang berjaya, perpaduan adalah kunci utamanya.

Dasar Perpaduan Negara Vs Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030)

Dasar Perpaduan Negara menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat, Bagi merealisasikan agenda perpaduan terus berada di landasan yang betul kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan pemegang taruh berkaitan amat diperlukan bagi memastikan objektif itu tercapai.

Rakyat Malaysia sejak sekian lama berpegang kepada Rukun Negara iaitu percaya kepada Tuhan; Setia kepada Raja dan negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan undang-undang dan Bersopan dan bertatasusila.

Tidak kiralah Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana etnik sekalipun, bergelar warganegara Malaysia, maka inilah ciri yang wajib kita hayati.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggugjawab , kira harus menyedari akan hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara, maka (konsep) ‘Perpaduan dalam kepelbagaian’ yang berteraskan model integrasi inilah yang kita hasratkan untuk rakyat Malaysia.

Justeru itu  masyarakat Malaysia keseluruhanya perlu mentransformasikan diri sebagai ejen menyebarkan semangat perpaduan dalam keadaan amat mencabar ketika ini, selain berdoa supaya Malaysia terus makmur dan kekal kukuh sebagai negara bersatu padu serta harmoni.

Antara wawasan yang terkandung aspirasi Rukun Negara adalah adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, untuk memelihara satu cara hidup yang demokratik.

Sebagai capaian progresif kita dapat melahirkan  masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama, untuk menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak dan yang terakhir adalah untuk membina satu masyarakat yang progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Secara asasnya, keprihatinan semua warga Malaysia terhadap aspirasi dan lima prinsip Rukun Negara akan memberi natijah yang positif kepada masyarakat majmuk di negara ini.

Rukun Negara bukan sekadar dilafazkan di hujung bibir dengan penuh bersemangat sebaliknya wajar dihayati dan diterjemahkan melalui perbuatan dan indakan. Semoga aspirasi membina masyarakat majmuk progresif dapat menjadi realiti.

Sivanesan Tamil Selvam
Felo Penyelidik
Majlis Belia Malaysia 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast