Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mendakwa Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan moratorium automatik ketika beliau mengemukakan masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat semasa dalam pertemuan dengan baginda kelmarin.

Persetujuan Agong itu tidak termasuk Kumpulan 20 Teratas (T20), dakwanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu berkata, Seri Paduka tidak menyebut tempoh tertentu dan lebih banyak bantuan kewangan untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Bagan itu memberitahu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah jauh terpesong dengan berpihak kepada bank berbanding rakyat di tengah-tengah krisis ekonomi akibat Covid-19.

”Adalah sangat mengecewakan apabila Kementerian Kewangan telah memutuskan untuk menyerahkan kepada bank untuk membuat keputusan dengan memberi alasan bahawa kerajaan tidak mengawal bank.

”Kerajaan PN dengan mudah melupakan bahawa kuasa darurat boleh digunakan demi kepentingan nasional buat masa ini untuk memaksa pihak bank tanpa sebarang kos kepada kerajaan,” kata beliau.

Pada masa sama, menurut Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sendiri mengakui kumpulan M40 dan perniagaan umumnya lebih tertekan dan terdesak berikutan keengganan untuk memperluaskan moratorium automatik pinjaman bank kepada kumpulan M40.

Bahkan, Mustapa mengakui kesukaran yang dihadapi oleh peminjam akibat kerenah birokrasi untuk memohon moratorium pinjaman daripada pihak bank.

Kerajaan dengan bijak telah mengenal pasti masalah yang berlaku tanpa memberikan jalan penyelesaian, dakwa Guan Eng lagi.

Tambah beliau, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia telah menyatakan kekecewaan kerana moratorium bank sekarang bukan bebas faedah dan mahu bank mengenepikan semua faedah dan caj bank seperti bagi penjadualan semula dan kelewatan pembayaran.

Malah Persatuan SME Malaysia mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 50,000 perusahaan kecil sederhana mungkin akan tutup perniagaan sekiranya ‘lockdown’ ini berlangsung selama empat minggu lagi selepas kira-kira 100,000 syarikat PKS telah berhenti beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.

Bagaimanapun, katanya, pihak bank kini memberikan bantuan kewangan secara bersasar kepada pelanggan yang memerlukannya.

”Di bawah moratorium sekarang untuk kumpulan B40, pihak bank tidak mengetepikan faedah tetapi menangguhkan pembayaran pinjaman dengan mengakru faedah yang mengakibatkan hutang pinjaman terkumpul yang lebih tinggi pada akhirnya.

”Dengan kata lain, pihak bank tidak akan rugi sama sekali walaupun terdapat moratorium automatik pinjaman bank automatik kecuali Kumpulan 20 Teratas.

”Oleh itu, tidak ada keperluan bagi kerajaan untuk menanggung sebarang kos bagi memberi ganti rugi kepada industri perbankan. Industri perbankan juga dapat menanggung segala kos yang ditanggung berikutan keuntungan selepas cukai yang sihat sebanyak RM32.3 bilion pada tahun 2019 dan RM23 bilion pada tahun 2020,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Guan Eng suarakan dakwaan kerajaan gagal urus pandemik kepada Agong