Dr Noor Azmi Ghazali

BATU GAJAH – Kerajaan belum bercadang untuk memberikan suntikan vaksinasi kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, setakat ini pemberian vaksin adalah kepada golongan fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu keutamaan kepada golongan warga emas, golongan 60 tahun ke atas  dan ia perlu mengikut turutan fasa yang ditetapkan.

“Fokus sekarang ialah kepada warga emas kemudian orang yang berkepentingan seperti mereka yang mempunyai urusan untuk ke luar negara. Kita perlu ikut urutan golongan mana yang perlu mendapatkan vaksin dahulu.

“Apabila kita buka sahaja fasa ketiga pemberian vaksin untuk golongan membabitkan dewasa berumur 18 tahun ke atas, jadi mereka boleh menerima suntikan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah hari ini.

Sebelum ini Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan mencadangkan agar calon SPM 2021 dan guru, wajar dipertimbang untuk disuntik vaksin COVID-19 supaya persiapan menghadapi peperiksaan itu tidak terjejas selain membolehkan mereka menghadiri kelas bersemuka. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast