Kerajaan pertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan.

SUNGAI PETANI – Nilai kompaun berjumlah lebih RM3 juta dikenakan terhadap majikan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan sejak Februari lalu.

Jumlah kompaun itu membabitkan 291 kertas siasatan ke atas majikan yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Timbalan Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Awang Hashim berkata, sebanyak 106,824 pemeriksaan penginapan pekerja melibatkan sebanyak 19,149 majikan dilakukan bermula 1 Februari hingga Selasa lalu.

Jelas beliau, daripada pemeriksaan itu sebanyak 745 kertas siasatan dibuka mengikut Akta 446 ke atas majikan dalam pelbagai sektor.

Awang Hashim.

“Daripada jumlah keseluruhan kertas siasatan itu sebanyak 125 kertas siasatan telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara dan 55 daripadanya sudah selesai pendakwaan membabitkan jumlah denda dibayar sebanyak RM361,000.

“Manakala sebanyak 291 kertas siasatan lagi diberi izin kompaun melibatkan tawaran kompaun berjumlah lebih RM3 juta.

“Bagi negeri Kedah pula, sebanyak 32 kertas siasatan dibuka dengan enam kes selesai di peringkat mahkamah membabitkan denda berjumlah RM58,000 manakala 19 lagi kertas siasatan dikenakan kompaun berjumlah RM190,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi pematuhan Akta 446 dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) Fasa Pertama di sebuah kilang pengeluaran peralatan perubatan dan elektronik di Kawasan Perindustrian Bakar Arang di sini hari ini.

Hadir sama dalam operasi berkenaan, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Mohd Asri Abdul Wahab dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.

Awang (dua dari kanan) bersama Asisten Komisioner Adzli ketika melakukan operasi di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bakar Arang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang berkata, kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah pelanggaran di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja.

“Kesalahan lain ialah tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja disiasat di bawah Peraturan 3 dan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 iaitu tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja.

“KSM mengulangi peringatan kepada semua majikan dan penyedia penginapan berpusat serta pemain industri secara umum agar sentiasa mematuhi akta yang dikuatkuasan bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap mereka.

Penginapan pekerja kilang berkenaan turut diperiksa dalam operasi tersebut.

“Hukuman bagi kesemua kesalahan yang disebutkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 bagi satu kesalahan dan kompaun bagi satu kesalahan boleh dikenakan sehingga RM25,000,” tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, Awang memberitahu, sebanyak 2,657 kes membabitkan pelbagai isu dihadapi pekerja termasuk warga asing telah dilaporkan menerusi aplikasi Working For Workers (WFW) sejak dilancarkan pada 3 Mei lalu.

Aplikasi itu menjadi saluran kepada pekerja untuk membuat aduan berkaitan sebarang isu di tempat kerja masing-masing antaranya kes pemotongan gaji dan dipecat tanpa notis

Daripada jumlah itu, negeri Selangor mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu sebanyak 940 kes diikuti Kuala Lumpur (726); Johor (299) dan Pulau Pinang (209).

“Kebanyakan aduan membabitkan majikan gagal serta lewat membayar gaji,” kata Awang. – MalaysiaGazette