JOHOR BAHRU – Seorang pesara polis membuat laporan polis terhadap seorang pendakwah berasal dari Singapura yang didakwa mempertikaikan tokoh sufi Islam.
Warga emas berusia 62 tahun itu, Mohd Jokri Basiran berkata, dia tidak mewakili mana-mana pertubuhan sebaliknya terpanggil membuat laporan polis atas rasa tanggungjawab sebagai umat Islam.
Beliau mendakwa ceramah dan kenyataan pendakwah berkenaan yang dikenali Ustaz Noor Derus melalui akaun YouTube Sidang Kalam tular di media sosial banyak berkaitan isu sensitif ajaran agama mengelirukan orang ramai di mana banyak kitab-kitab turath ajaran tasawuf Islam dipertikaikannya.
“Isu yang dibawanya banyak menidakkan ulama muktabar dunia Islam yang rata-rata sudah diakui peranannya di dunia Islam sejak zaman berzaman termasuk wali Allah yang menjadi rujukan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dituduh ahli sihir,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jokri baru-baru ini telah membuat laporan polis mengenai pendakwah berkenaan di Balai Polis Gelang Patah.
Menurutnya, ceramah dan penerangan ustaz berkenaan dibimbangi mempengaruhi golongan muda yang kurang asas agama.
Sementara itu difahamkan, laporan polis mengenai pendakwah berkenaan sudah banyak dibuat di seluruh negara dan dipercayai sudah melebihi 100 laporan termasuk dari wakil kumpulan madrasah dan sekolah tahfiz.
Justeru, Jokri mahu pihak berkuasa termasuk jabatan agama Islam menyiasat mengenai perkara itu termasuk dakwaan ustaz berkenaan menyalahgunakan platform media sosial atas kepentingan peribadi.- MalaysiaGazette