ROM – Acara pembukaan perlawanan pertama kejohanan Piala Euro 2020 antara Itali dan Turki kali ini menjadi topik perbualan peminat bola sepak seluruh dunia sejak awal pagi tadi.
Ini kerana kemunculan sebuah kereta mainan kawalan jauh di padang bola sepak secara tiba-tiba mengejutkan seketika para peminat di stadium dan juga di penonton kaca televisyen.
Rupa-rupanya kereta berjenama Volkswagen SUV itu membawa bola rasmi Euro 2020 sebelum berhenti di hadapan pengadil perlawanan di tengah padang untuk menyerahkan bola tersebut.
Pendekatan unik memulakan perlawanan pembukaan temasya kali ini mencuri tumpuan netizen bola sepak sekali gus menjadi topik perbualan hangat dalam Twitter dan juga Instagram.
Penyanyi opera Itali kelihatan meletakkan bola rasmi kejohanan kali ini di atas bumbung kereta mainan itu di tepi padang sebelum menggerakkan dengan alat kawalan jauh.
Ketika pemain kedua-dua pasukan sudah berbaris di tengah padang bersama pengadil perlawanan pembuka tirai Euro 2020, kereta mainan berjenama Volkswagen berkawalan jauh bergerak masuk dalam padang ke arah pengadil.
Kemudian pengadil mengambil bola rasmi kejohanan itu dari bumbung kereta mainan itu disaksikan para pemain kedua-dua pasukan itu yang menunggu bola untuk wisel perlawanan bermula ditiup.
Beberapa penyokong dan pemerhati sukan juga menyatakan perlawanan pembukaan Euro 2020 kali ini menjadi unik dengan kehadiran kereta mainan bersama bola rasmi.
Ada yang menyifatkannya sebagai percubaan kali pertama dalam sejarah kejohanan tersebut yang mungkin tidak akan berulang selepas ini.
Dalam perlawanan itu, Itali menang 3-0 ke atas Turki dengan kesemua tiga gol itu hadir pada separuh masa kedua perlawanan.-MalaysiaGazette