Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak pelarian berstatus pemegang Kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di dalam negara ini dinasihatkan supaya berhenti bergaduh dengan Kementerian Dalam Negeri dalam mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Sebaliknya, NGO digesa terlebih dahulu pergi berjumpa dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendapatkan senarai dokumen lengkap seramai 178, 715 warga asing yang berstatus pemegang kad UNHCR di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan masih tidak mempunyai maklumat tentang jumlah sebenar kesemua pemegang kad UNHCR itu.

“Perkara penting yang kita minta dengan UNHCR adalah supaya memberikan senarai lengkap 178,175 orang yang dia maklumkan sebagai pemegang kad UNHCR yang masih berada dalam negara kita.

“Kita tak tahu di mana mereka semua berada ketika ini dan juga maklumat tempat tinggal spesifik mereka pun tidak ada dengan kami.

“Untuk pemberian vaksin kepada pemegang kad UNHCR, kita akan bekerjasama dengan kementerian tertentu supaya beberapa kriteria dan prosedur akan diteliti untuk melibatkan mereka dalam program vaksin nanti,” katanya dalam sidang media Rangkuman Operasi Pematuhan SOP PKP Lockdown di kementeriannya di sini petang tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai kekhilafan yang wujud mengenai kedudukan warga asing di dalam negara ini.

Tambah Hamzah, pemegang kad UNHCR adalah antara hampir 2.5 juta warga asing yang telah dikenalpasti dalam negara dengan memegang pelbagai dokumen yang dikeluarkan kerajaan atau pihak ketiga iaitu kad UNHCR termasuk banduan dan tahanan Imigresen di seluruh negara.

Menurut beliau, kerajaan sudah bertanya kepada PBB mengenai senarai lengkap angka pemegang kad UNHCR di dalam negara ini untuk memudahkan mereka dikesan namun tiada maklum balas setakat ini.

“Mereka (PBB) kata mereka bapa kepada KDN.. saya sebagai anak tak boleh tanya daripada bapa…saya dah tanya tapi masih tidak berikan senarai itu kepada kami.

“Kalau tanya saya bagaimana nak kenalpasti semua berstatus UNHCR itu, NGO haruslah dapatkan senarai itu dan memberikan kepada saya.

“Mereka (NGO) tak sepatutnya gaduh dengan saya, mereka patut pergi tanya dokumen itu dari PBB dan bagi kepada saya,” tegasnya.

Menurut beliau, jumlah 178,715 orang pemegang kad UNHCR yang dimaklumkan PBB adalah satu angka besar iaitu mewakili tujuh hingga lapan peratus daripada keseluruhan 2.5 juta warga asing yang berada di negara ini dengan pelbagai dokumen.

Bagaimanapun beliau menegaskan pihaknya akan cuba mengesan kedudukan mereka menerusi pihak-pihak yang boleh membantu mengenalpasti penempatan mereka.

Hamzah berkata, mengikut data KDN, daripada 2.5 juta warga asing itu, sebanyak 268,419 adalah penduduk pemastautin tetap (PR) dan pemastautin sementara berstatus MyKas  seramai 8,801 orang mengikut Jabatan Pendaftaran Negara.

Menerusi data Jabatan Imigresen pula, seramai 22, 581 warga asing telah diberikan permit masuk disusuli pas residen seramai 8,721 orang, pelajar asing 36,559 orang dan individu berstatus Malaysia My2Home melibatkan 30,727 orang.

Di samping itu, warganegara yang berkahwin dengan warga asing, sama ada suami atau isteri berulang yang diberi pas lawatan sosial seramai 170,812 orang dan yang mendapat pas lawatan sosial lain-lain adalah 38,393 individu.

Sementara itu, ekspatriat berjumlah 96,623 orang termasuk tanggunggan mereka.

“Dalam senarai ini jumlah terbesar sekali adalah warga asing yang mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang bermajikan dan juga penaja seramai 1,4 juta atau lebih tepat 1,403,409 orang.

“Kita juga dalam proses mengenalpasti keberadaan mereka yang tidak berdokumen bagi mengelak masalah kesihatan, sosial, keselamatan dan juga ekonomi menerusi program rekalibrasi yang dimulakan.

“Jika mana-mana majikan dapat mengenal pasti mereka, tolong bawa kepada kami supaya dapat menghubungi kedutaan mereka untuk disediakan dokumen bagi dikategorikan dalam 2.5 juta orang untuk program vaksin.

“Kita tak mahu mereka yang duduk di penempatan haram curi elektrik dan air sehingga mengotorkan alam sekitar dan ganggu proses pembangunan tanpa dokumen sah.

“Kalau duduk dalam semak samun mana boleh beri vaksin kecuali mereka tampil memberi kerjasama supaya dapat disediakan dokumen sah sebelum proses vaksin mengikut fasa yang diaturkan kerajaan secara berjadual,” tegasnya.- MalaysiaGazette