PARIS – Novak Djokovic mengakhiri dominasi ‘Raja Tanah Liat’ Rafael Nadal dalam Tenis Terbuka Perancis malam tadi.
Djokovic menang empat set dalam pertembungan separuh akhir klasikyang bakal tersenarai dalam perlawanan terbaik sepanjang masa di Roland Garros clay.
Djokovic yang pernah menjuarai edisi 2016 menang 3-6 6-3 7-6 (7-4) 6-1 menentang Nadal yang merupakan juara bertahan selama empat tahun berturut-turut.
Perlawanan itu berlangsung lebih empat jam dengan pelbagai kejutan dan keunikan yang mencemaskan penonton kedua-dua jaguh dunia itu.
Bagi Nadal yang turun ke gelanggang untuk merangkul gelaran ke-14 kali ini, ia merupakan kekalahan ketiga dalam 108 perlawanan yang diharungi setakat ini.
Djokovic kini bersiap sedia untuk berdepan jaguh tenis dari Greek Stefanos Tsitsipas pada aksi akhir esok.
“Aksi klasik bertembung dengan Nadal sebentar tadi adalah antara yang menjadi kenangan manis dalam karier saya kerana ia adalah antara tiga perlawanan terbaik dalam hidup saya,” kata Djokovic.
Djokovic mengakui memerlukan skil tenis yang tinggi untuk menang ke atas jaguh seperti Nadal dan menyatakan rasa lega dia beraksi cemerlang ke arah merangkul gelaran Grand Slam ke-19 kali ini.
Dalam rekod 58 pertemuan dengan Nadal, jaguh Serbia itu melakar 30 kemenangan di atas gelanggang setakat ini.
Djokovic juga mengakui menewaskan jaguh seperti Nadal di gelanggang Roland Garros adalah satu misi yang amat sukar untuk mana-mana pemain dalam dunia tenis.
Pertembungan Nadal dan Djokovic telah ditonton oleh 5,000 pengunjung yang dibenarkan menetap di sana walaupun terdapat peraturan larangan berkumpul yang ditetapkan di Paris selepas 11 malam.-MalaysiaGazette