KUALA LUMPUR – Gabungan Teksi Malaysia sedih dan kesal dengan pertindihan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang didakwa masih tidak selesai selepas seorang pemandu teksi ditahan dan disaman dalam sekatan jalan raya (SJR) di Tampin kerana kesalahan rentas negeri.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, pemandu teksi itu dikenakan kompaun sebanyak RM5,000.

Menurutnya, isu ini telah dibangkitkan oleh gabungan itu malangnya sehingga saat ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga pemandu teksi berkenaan dikenakan saman.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain . foto FAREEZ FADZIL.

Beliau memberitahu, mengikut SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pengangkutan, sektor pengangkutan awam dibenarkan beroperasi.

Malah, dalam SOP berkenaan tidak memaklumkan bahawa pemandu teksi perlu mendapatkan surat kebenaran beroperasi atau rentas negeri dari mana-mana kementerian atau agensi.

Cuma di atas dasar mahu menghentikan kekeliruan yang sering berlaku di SJR, Gabungan Teksi Malaysia telah meminta jasa baik Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat mengeluarkan surat kebenaran beroperasi PKP 3.0.

“Namun, surat itu juga menjadi isu di beberapa SJR oleh PDRM yang bertugas kerana tarikh surat tersebut dikeluarkan pada 31 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagi mendapatkan penjelasan dan penyelesaian terbaik mengenai SOP ini, Kamarudin berkata, Gabungan Teksi Malaysia akan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Komisioner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada Selasa ini di Bukit Aman.

Katanya, pihak beliau sentiasa menghormati PDRM, tetapi jangan sukarkan kehidupan pemandu teksi yang pada masa ini berada dalam keadaan sukar. – MalaysiaGazette