Orang ramai hadir berkunjung di pasar malam bagi membeli keperluan makanan selepas kerajaan membenarkan peniaga-peniaga pasar malam serta penjaja membuka perniagaan mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Malam Desa Latania Seksyen 36, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 18 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Kewangan berkaitan 85% peminjam mampu membayar semula sejurus selepas moratorium enam bulan tamat pada tahun lalu 2020 bukanlah penanda aras kedudukan ekonomi rakyat 2021 selepas satu lagi siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh yang tidak diketahui bila akan berakhir.

Ini kerana, pada tahun lalu rakyat masih memiliki simpanan yang teguh selepas mengharungi pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sebelum pertukaran kerajaan pada 2018.

Namun pandemik hampir dua tahun, ditambah dengan kemelut ekonomi global, krisis industri pelancongan yang merupakan antara industri terpenting negara, serta kenaikan harga barang mendadak ditambah dengan ketidaktentuan bekalan vaksin, rakyat tidak boleh lagi diklasifikasikan sebagai B40, M40 dan T20.

Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia 2018 (Kagum) berkata, kadar kelayakan B40, M40 dan T20 ini pastinya berdasarkan prestasi ekonomi sebelum pandemik melanda dan kini kelayakan ini harus disemak semula.

”Adakah gaji RM5,000 sebulan dalam suasana ekonomi lembab ini masih dalam kategori M20? Harga barang keperluan naik…nilai RM5,000 sudah tidak sama berbanding 5 tahun dulu,” kata Pengerusi Biro Penjaja Kecil Kagum, Rohaimizan Ramli.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Selayang menambah, ketiadaan ‘exit strategy’ kerajaan juga amat mencemaskan.

Justeru, itu moratorium automatik kepada semua pembayar cukai perlu ditingkatkan ke pendapatan RM200,000 kecbawah perlu diperkenalkan dan suntikan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu di segerakan.

Sebarang bentuk pinjaman faedah rendah hanyalah akan menyukarkan PKS di masa mendatang.

Katanya, kerajaan wajib menfokuskan kepada PKS bukan perusahaan makanan terutamanya sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar terbesar.

”Kami yakin menteri kewangan tidak sewajarnya dipandu dengan fakta ekonomi lapuk dalam membuat keputusan tetapi perlu diseimbangkan dengan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette