Mior Faridalathrash.

IPOH – Polis Perak mengeluarkan 1,239 kompaun berkaitan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh sejak 1 Jun sehingga semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada jumlah itu, kesalahan SOP paling banyak direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka iaitu sebanyak 244 kompaun.

“Setakat ini, sebanyak 339 pasukan pemantau pematuhan SOP telah digerakkan dengan kadar penugasan yang lebih kerap.

“Bagaimanapun, pasukan pemantau ini akan ditambah mengikut keperluan semasa penugasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, sebanyak 63 sekatan jalan raya (SJR) secara tetap didirikan di seluruh Perak.

“Pertambahan SJR akan dibuat berdasarkan keperluan penugasan semasa.

“Selain itu, SJR Bergerak atau ‘snap check’ akan dibuat mengikut keperluan semasa Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai, terutama di jalan pintas atau lorong tikus,” kata beliau.

Mengulas mengenai tahap pematuhan SOP, Mior Faridalathrash menegaskan tahap pematuhan SOP di negeri ini berada pada tahap memuaskan iaitu mencapai 96 peratus.

Dalam perkembangan sama, Mior Faridalathrash menegaskan pihaknya kini dalam perancangan mewujudkan Pasukan Pemantau Bersepadu Berpusat yang membolehkan pemantauan dilakukan secara bersasar serta berdasarkan aduan orang ramai berkaitan pelanggaran SOP.

“Pasukan pemantau itu akan melibatkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna,” ujar Mior Faridalathrash. – MalaysiaGazette