Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin . Foto SYAFIQ AMBAK, 03 JUN 2021.

PUTRAJAYA – Surat dan permit kebenaran pergerakan yang tamat tempoh Isnin 14 Jun ini masih boleh diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekatan jalan raya seluruh negara sehingga tamat tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP) pada 28 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan tegas hanya akan diambil sekiranya PDRM mengesan wujud pemalsuan surat atau permit pergerakan yang dimilikinya.

“Malah kita juga akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi ke atas mana-mana pihak yang turut dikesan memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan surat kebenaran tersebut.

“Itu adalah prosedur operasi standard dan penguatkuasaan yang kita akan memberikan tumpuan lebih serius dan tegas dalam minggu kedua fasa kedua pelaksanaan PKP Penuh nanti.

“Bagi tujuan penyelarasan pergerakan di SJR seluruh negara (sambung PKP Penuh), PDRM akan terus menerima surat atau permit yang dikeluarkan oleh 12 kementerian dan agensi yang telah dipersetujui dan diakui MKN,” katanya dalam sidang media Rangkuman Operasi Pematuhan SOP PKP Lockdown di kementeriannya di sini petang tadi.

Menurutnya, 12 kementerian dan agensi yang dimaksudkan adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi,Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI),Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), KDN, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga Kementerian Belia dan Sukan.

Manakala agensi yang tersenarai dan diakui MKN adalah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan PDRM.

Tambah beliau KDN dan semua agensi penguatkuasaan di bawahnya telah bersiap sedia untuk meneruskan lagi penguatkuasaan pematuhan SOP susulan keputusan kerajaan semalam melanjutkan tempoh PKP Penuh selama dua minggu lagi hingga 28 Jun ini.

KDN juga akan bekerjasama dengan agensi agensi kementerian lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan lain lain.

Ujar beliau , sepanjang tempoh pelaksanaan fasa pertama PKP Penuh sehingga semalam, sebanyak 9,808 kompaun telah dikeluarkan dan 542 tangkapan dibuat oleh PDRM.

Daripapada jumlah itu katanya, 355 perbadanan telah dikompaun atas pelbagai kesalahan perlanggaran SOP.

“Sementara itu, pergerakan lalu lintas di lebuh raya utama negara menyaksikan kadar aliran kenderaan di sekitar Lembah Klang berada dalam sekitar 285,000 kenderaan meliputi pergerakan harian di Lebuhraya DUKE, NPE, Grand Saga, Lebuhraya MAX dan SPRINT.

“PDRM juga telah melaksanakan hampir 1000 SJR di seluruh negara setiap hari termasuk penutupan 129 jalan kecil yang menjadi laluan alternatif orang awam melanggar perintah larangan rentas negeri dan daerah,” tambah beliau. – MalaysiaGazette