Sesiapa mempertikaikan prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memanggil perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu  menunjukkan pengabaian kepada prinsip kedaulatan negara dalam Perlembagaan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sesiapa mempertikaikan prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memanggil perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu  menunjukkan pengabaian kepada prinsip kedaulatan negara dalam Perlembagaan.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, amalan Westminster secara membuta-tuli dan pemakaian prinsip kedaulatan di England secara bebas untuk mentafsirkan sistem demokrasi di Malaysia bercanggah dengan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Sistem demokrasi Berperlembagaan di Malaysia tidak mutlak serta tertakluk pada prinsip Kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Dari sudut Perlembagaan Persekutuan, demokrasi berparlimen bukan prinsip kedaulatan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dr Wan Ahmad Fauzi
Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,

Wan Ahmad Fauzi merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan perbincangan khas di Istana Negara pada 16 Jun depan.

Hassan di Facebooknya mempersoalkan adakah tindakan itu sah disisi Perlembagaan Persekutuan.

“Adakah PM bertanyakan kepada Peguam Negara “Perbincangan Khas itu”? Adakah perbincangan khas itu sah dari segi Perlembagaan Persekutuan?

“Setahu kita yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan ialah Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Puas dicari di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada hal perkara disebut istilah perbincangan khas,” tulis pemimpin PKR itu.

Dalam tulisan itu juga, Hassan turut mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Adakah Muhyiddin selaku Perdana Menteri menyedari hanya Mesyuarat Majlis Raja-Raja sahaja yang boleh menimbang teliti perkara mengenai dasar-dasar negara (Fasal 3, Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan)?

“Sesi Perbincangan Khas pada 16 Jun itu tidak ada kuasa untuk membincangkan dasar-dasar negara kerana Perbincangan Khas bukan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.Sesi yang dipanggil Perbincangan Khas tidak wujud langsung dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Hassan lagi.

Mengulas mengenai itu, Dr Wan Ahmad Fauzi berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan prerogatif dan bidang kuasa Majlis Raja-Raja begitu juga prerogatif dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, prinsip Keluhuran Perlembagaan dijamin oleh Perkara 4 Pelembagaan Persekutuan yang mengatasi nasihat eksekutif, membataskan kuasa perundangan Parlimen dan menetapkan prinsip pentadbiran keadilan.

“Mesyuarat Majlis Raja-Raja boleh dipanggil oleh Penyimpan Mohor Besar atas kuasa budi bicara SPB Agong atau tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis Raja-Raja untuk merundingi apa-apa perkara, termasuklah yang semata-mata berkaitan dengan keistimewaan, Kedaulatan, kemuliaan dan Kebesaran Raja-Raja Melayu, atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama,” katanya.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong tidak bersyarat dengan prosiding mesyuarat Majlis Raja-Raja kerana mempunyai prerogatif untuk mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja atau siapa sahaja.

Justeru itu, perbincangan khas yang akan mengambil tempat pada Rabu depan merupakan hasrat baginda untuk berunding dengan Raja-raja Melayu yang berada dalam kewajipan Baginda di bawah Perlembagaan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Hassan Abdul Karim seorang penderhaka kerana sikap begini lah yg menyebabkan terhasil petualang yg menghina kesultanan melayu..
    Sekarang kita tahu bahawa PKR yg melahirkan mereka2 yang derhaka kepada RAJA-RAJA Melayu.Ini satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan kerana sekarang kes penghinaan kepada Raja-Raja melayu banyak.

Comments are closed.