KUANTAN – Semua pengurusan kilang diminta menyediakan dokumentasi lengkap dan bersedia menghadapi pemeriksaan mengejut oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ia penting kerana pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa dibuat pada bila-bila masa termasuk pada hujung minggu.
Tambah beliau, selain melaksanakan dokumentasi pengurusan, penyediaan protokol kesihatan perlu dilakukan dan majikan bertanggungjawab memastikan ia dilaksanakan oleh kakitangan.
“Hasil pemeriksaan di tiga buah kilang petang tadi didapati memuaskan namun perlu diperkemaskan terutamanya proses dokumentasi.
‘’Jangan hanya menyediakan peralatan protokol kesihatan tetapi tiada perlaksanan oleh peringkat para pekerja. Kenapa benarkan kilang beroperasi tapi tidak bersiap siaga menyediakan dokumen dan tidak bersedia dengan pemeriksaan serta kedatangan pihak berkuasa?
“Selain dokumen MITI, pendaftaran MySejahtera, pemeriksaan suhu, penyediaan pembasmian kuman dan pemakaian pelitup muka di kalangan kakitangan perlu dipantau oleh pihak atasan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Mohamad Noor, pihak pengurusan juga perlu memastikan penyediaan surau kepada kakitangan perlu patuh SOP bagi mengelak kluster baharu di tempat kerja,” jelasnya lagi.
Pemeriksaan terhadap kilang berstatus antarabangsa juga mendapati proses dokumentasi diuruskan dengan baik memudahkan pihak penguasa membuat pemantauan.
“Penyediaan dokumen terbaik disusuli perlaksaan yang sangat mematuhi SOP yang ditetapkan. Majikan perlu memastikan pekerja mematuhi semua peraturan yang dibuat bukan kerana takut Penguatkuasaan tetapi dibuat dengan rasa tanggungjawab.
“Pekerja juga perlu jujur dan mematuhi peraturan di lapangan dan dalam premis demi leselamatan diri sendiri dan nyawa orang lain”katanya. – MalaysiaGazette