KUALA LUMPUR – Tular di media sosial sejak malam tadi apabila pengasas laman web perkhidmatan online yang dikenali sebagai Siti Jamumall membuat live di Facebook mendakwa anaknya yang baru dilahirkan telah tertukar semasa dibawa pulang dari hospital.
Menerusi live FB berdurasi dua jam itu tular, Siti Jamumall atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin bergegas semula ke sebuah hospital di Shah Alam bagi menguruskan hal berkenaan bayinya itu.
Selepas beberapa jam, wanita berusia 22 tahun berkenaan kembali membuat live dengan mengucapkan terima kasih atas keprihatian semua terhadapnya.
Dia menganggap peristiwa tersebut sebagai salah satu pengajaran yang tidak akan pernah dilupakan.
Siti telah mendapatkan semula bayinya yang tertukar dan berasa lega walaupun kecuaian tersebut bukan datang darinya atau pun ibu bapa dari bayi yang dibawa pulang.
Dalam perkongsiannya lagi, dia sempat memuat naik perbualan menerusi aplikasi WhatsApp dengan ibu yang membawa pulang anaknya.
Masing-masing meluahkan rasa terkilan dan sangat bimbang ketika mendapat tahu bayi mereka tertukar.
Namun, kedua-duanya mulai tenang dan mengakui sudah menganggap anak masing-masing seperti anak sendiri memandangkan sudah menyusukan mereka.
Cuma satu lagi kebimbangan setelah mendapat semula anaknya adalah tiada kesan suntikan di lengan bayi berkenaan dan membuatkan Siti Jamumall musykil dengan pengurusan hospital berkenaan. – MalaysiaGazette