KUALA LUMPUR – Sebanyak 97 peratus tahap penyembuhan jangkitan virus hepatitis C (HCV) kronik direkodkan dalam kalangan orang dewasa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia diperolehi menerusi ujian klinikal label terbuka bagi menilai tahap keberkesanan, keselamatan dan farmakokinetik kombinasi ravidasvir dan sofosbuvir (STORM-C-1) di Malaysia dan Thailand.
Menurutnya, kadar penyembuhan sama turut dikenal pasti bagi pesakit genotip jenis 3 virus itu yang sangat sukar diubati.
“STORM-C-1 itu ditaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Thailand serta Inisiatif bagi Ubat untuk Penyakit Diabaikan (DNDi), selain hasilnya diterbitkan dalam jurnal The Lancet Gastroenterology & Hepatology, April lalu.
“Kombinasi rawatan baharu HCV ini adalah pilihan tambahan mampu milik bagi jutaan orang yang menunggu akses rawatan untuk menyelamatkan nyawa di negara berpendapatan sederhana, selain ia selamat dan berkesan.
“Tiada interaksi ubat-ubatan signifikan dilihat secara klinikal dengan antiretrovirus yang biasanya digunakan untuk mengubati HIV.
“Ia menjadikan kombinasi baharu ini sangat bermanfaat kepada doktor,” katanya pada sidang media rawatan Hepatitis C yang julung kali dibangunkan melalui kerjasama Selatan-Selatan dan ubat pertama didaftarkan di Malaysia secara maya, hari ini.
Terdahulu, ujian klinikal Fasa III oleh Pharco Pharmaceuticals Inc di Mesir sebelum ini mendapati, kombinasi berkenaan menunjukkan kadar penyembuhan hingga 100 peratus dalam kalangan pesakit HCV genetik jenis 4 (genotip 4) virus itu.
HCV direkodkan menjangkiti kira-kira 58 juta orang di seluruh dunia dan boleh menyebabkan penyakit hati kronik, sirosis (keradangan kronik merosakkan struktur normal organ), barah, dan kematian.
Bagaimanapun, kira-kira 13 peratus daripada angka itu telah mendapat rawatan, manakala penyakit itu telahpun menyebabkan sekitar 300,000 kematian setahun. – MalaysiaGazette