Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Polis sedang melakukan siasatan terhadap dua kes kekasaran melibatkan pesakit Covid-19 yang berlaku di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, insiden pertama berlaku 6 Jun lalu di lobi Wad HTAR membabitkan waris lelaki kepada seorang pesakit wanita Covid-19 yang telah meninggal dunia.

Suspek difahamkan telah menolak dan cuba menumbuk seorang doktor lelaki selepas tercetus keraguan mengenai kematian ibunya.

“Insiden itu dipercayai berlaku selepas waris pesakit Covid berkenaan tidak berpuas hati dengan pegawai perubatan hospital. Waris terbabit cuba menampar doktor namun doktor itu mengelak dan terkena sedikit di bahagian telinganya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Nik Ezanee, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam insiden kedua pula, Nik Ezanee memberitahu, insiden itu berlaku pada 10 Jun lalu.

Kata beliau, polis menerima laporan tentang seorang pesakit Covid-19 menikam seorang lagi pesakit lain di hospital yang sama.

“Dakwaan suspek berusia 37 tahun itu mengatakan kononnya dia mengalami halusinasi tetapi polis masih menjalankan siasatan mengenal pasti tahap kesihatan mental suspek sebelum memikirkan tindakan lanjut.

“Suspek (pesakit Covid-19) itu kini telah direman enam hari bermula Sabtu lalu sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Suspek sekarang telah dipindah dan ditempatkan di Hospital Sungai Buloh dengan dikawal ketat oleh polis setiap masa.

“Mangsa tikaman iaitu seorang lagi pesakit Covid-19 masih dirawat di HTAR dan keadaan dilaporkan stabil,” tegas Nik Ezanee.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisiober Shamsul Amar Ramli dalam kenyataan terbaharu menjelaskan, insiden menumbuk doktor berpunca daripada berlaku salah faham mengenai punca kematian ibu kepada seorang lelaki India dan kegagalan pihak hospital memaklumkan keadaan sebenar pesakit hingga menimbulkan keraguan kepada waris.

Si mati sebelum ini dirawat sebagai pesakit biasa dan tidak mempunyai sebarang tanda sebagai pesakit Covid-19.

“Manakala kes pesakit menikam seorang lagi pesakit  pula berlaku sekitar jam 6.30 petang apabila suspek lelaki berusia 37 tahun secara tiba-tiba telah mengambil pisau pemotong buah dan menikam seorang pesakit di bahagian perut.

“Motif kejadian dipercayai suspek dalam keadaan tidak waras (halusinasi). Mangsa berada dalam keadaan stabil dan telah menjalani pembedahan. -MalaysiaGazette