SHAH ALAM – Polis Selangor telah mengeluarkan 2,251 kompaun atas pelbagai kesalahan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kompaun itu dikeluarkan sepanjang 13 hari pelaksanaan PKP fasa pertama daripada 1 hingga 13 Jun lalu.
Katanya, kesalalahan paling ketara dikenakan kompaun tinggi adalah kegagalan mengamalkan penjarakan fizikal.
“Kita mendapati tiga kesalahan paling ketara dilakukan rakyat di negeri ini mengakibatkan kompaun tinggi iaitu penjarakan fizikal membabitkan 541 kompaun, tidak memakai pelitup muka serta tidak dipakai dengan cara tidak betul adalah sebanyak 523 kompaun dan akhirnya gagal mendaftarkan diri dalam kos QR MySejahtera 238 kompaun,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media kejayaan menumpaskan Ah Long di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Menurut Arjunaidi, hasil pemantauan polis sepanjang 13 hari lalu mendapati majoriti warga Selangor mematuhi SOP PKP yang dikuatkuasakan pada fasa pertama.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat kalangan penduduk negeri itu yang degil dan mengambil mudah SOP berkenaan.
“Polis juga mengesan ada pihak yang masih berkumpul ramai-ramai jumpa kawan dan sebagainya selain ada kesalahan majikan gagal memastikan pekerja mereka mencatitkan kehadiran dalam MySejahtera.
“Kita tidak akan berputus asa, sebaliknya akan terus melaksanakan tugas penguatkuasaan pematuhan SOP ini secara lebih serius supaya warga Selangor tidak mengambil enteng saranan pihak berkuasa dan tindakan kompaun akan diteruskan ke atas mana-mana yang ingkar,” katanya. – MalaysiaGazette