Kawasan tumpuan warga asing sekitar Kuala Lumpur iaitu di Jalan Pudu dan Jalan Silang yang menjadi tempat tumpuan warga asing berkumpul kelihatan lenggang sempena cuti perayaan Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Orang ramai mengharapkan lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang diumumkan sehingga 28 Jun ini dapat mengurangkan angka kes positif Covid-19.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, berkuatkuasa 15 hingga 28 Jun ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Kampung Baru mendapati para peniaga dan orang awam masing-masing meluahkan harapan mereka agar lanjutan lockdown kali ini mampu memberi sinar kepada negara dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Pekerja bank, Zuhairi Zakaria bercakap dengan wartawan ketika tinjauan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh yang berlarutan sehingga 28 Jun di Kampung Baru, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 14 JUN 2021.

Menurut seorang pekerja bank, Zuhairi Zakaria, 37, lanjutan PKP Penuh selama dua minggu seharusnya mampu membawa berita baik kepada umum terutamanya dalam menurunkan angka kes positif Covid-19.

“Pada pendapat saya jika sudah dilanjutkan PKP ini maka ia perlu berjaya dalam menurunkan angka jangkitan Covid-19 dan selepas PKP ini ditamatkan kita semua boleh kembali kepada kehidupan normal seperti sebelum ini.

“Namun jika sebaliknya yang berlaku maknanya kita tidak berjayalah dalam mengekang penularan virus Covid-19 ini. Kita nak cepat macam mana pun tapi inilah prosesnya yang kita kena tempuh, saya sendiri mengharapkan semua orang dapat bekerja seperti biasa selepas ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Penjawat awam, Zaza Basir bercakap dengan wartawan ketika tinjauan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh yang berlarutan sehingga 28 Jun di Kampung Baru, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 14 JUN 2021.

Turut senada, penjawat awam, Zaza Basir, 38, berharap lanjutan PKP penuh yang diumumkan bukan sahaja dapat menurunkan jumlah kes positif Covid-19 tetapi mengelak sistem perubatan awam di negara ini daripada terus lumpuh dengan lambakan pesakit.

Namun menurut Zaza, kerajaan memberi perhatian kepada golongan yang terjejas akibat pelaksanaan PKP Penuh ini terutamanya mereka yang bergaji hari atau peniaga kecil.

“Memang kita sebagai rakyat mengharapkan angka jangkitan Covid-19 dapat diturunkan selepas kerajaan mengumumkan lanjutan PKP Penuh sehingga 28 Jun dan ia merupakan langkah tepat buat masa ini dalam usaha menurunkan angka jangkitan itu sendiri.

“Tetapi dalam masa sama kerajaan perlu lihat juga kepada peniaga kecil yang terkesan akibat total lockdown mungkin dari segi bantuan yang dapat disalurkan mengikut keperluan mereka,” ujarnya.

Pemilik restoran, Sahrul Anuar Sarahan bercakap dengan wartawan ketika tinjauan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh yang berlarutan sehingga 28 Jun di Kampung Baru, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 14 JUN 2021.

Sementara itu, bagi pemilik restoran di Kampung Baru, Sahrul Anuar Sarahan, 35, mengakui amat terkesan dengan pelaksanaan lockdown kerana waktu operasi yang singkat.

Menurut Sahrul Anuar, sudah hampir dua bulan pelanggan tidak dibenarkan untuk makan di kedai dan situasi tersebut menjejaskan hampir separuh pendapatan hariannya.

Justeru dia berharap supaya kerajaan dapat mengkaji semula waktu operasi kedai makan supaya dapat dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga pukul 10 malam.

“Bagi saya sebagai seorang peniaga kedai makan memang amat terkesan kerana tiada pelanggan dibenarkan untuk ‘dine-in’ tapi sekurang-kurangnya bagi lah kami untuk beroperasi sehingga pukul 10 malam kerana tak semua orang habis kerja awal jadi mereka kelam-kabut untuk beli makanan dan kami peniaga pun dapat tambah sedikit pendapatan.

“Tapi bila kami pukul 7 malam pun sudah mula kemas kedai memang agak ‘sakit’ untuk survive. PKP 3.0 ini juga hampir dua bulan dilaksanakan, saya rasa mereka yang ada restoran besar pun memang susah hendak bertahan dalam situasi begini.

“Ini kerana para peniaga sudah semestinya banyak pinjaman bank yang dibuat, tanggungan, sewa kedai serta membayar pekerja. Sekiranya ada bantuan one-off kepada peniaga makanan pada PKP kali ini memang bersyukur, kalau boleh kerajaan tengok semula apa yang boleh disalurkan kepada para peniaga khususnya dari segi sewa premis,” katanya.

Peniaga Air, Hanapi Ismail bercakap dengan wartawan ketika tinjauan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh yang berlarutan sehingga 28 Jun di Kampung Baru, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 14 JUN 2021.

Manakala seorang peniaga air, Hanapi Ismail, 49, berkata, pelaksanaan PKP sudah lebih setahun dipraktikkan di negara ini jadi orang awam seharusnya sudah terbiasa dengan norma baharu.

Jelas Hanapi, pelaksanaan PKP Penuh yang dikuatkuasakan ketika ini bukan sekadar suka-suka tetapi bertujuan menyelamatkan nyawa daripada terus terkorban akibat virus maut itu.

“Harap kes dapat diturunkan dan semua rakyat terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) kerana kerajaan dah tetapkan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia daripada terkena jangkitan Covid-19, masalah ekonomi jangan fikirkan lagi kerana masalah nyawa manusia lagi penting,” katanya. – MalaysiaGazette