Sebanyak 10 sindiket ah long haram membabitkan 38 anggotanya dicekup polis disyaki meminjam wang tak berlesen sehingga mencecah RM1juta dan faedah setinggi 15 peratus.- gambar ihsan IPK Selangor.

SHAH ALAM – Kegiatan haram 10 sindiket ah long yang mengenakan kadar faedah pinjaman wang yang tinggi kepada mangsa terperangkap dalam jerat polis.

Seramai 38 suspek disyaki ahli sindiket berkenaan berusia dalam lingkungan 21 hingga 61 tahun diberkas dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua suspek dicekup antara 3 hingga 8 Jun lalu menerusi Operasi Vulture di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Serdang, Klang, Hulu Selangor dan Sungai Buloh.

Seramai 34 daripadanya warga tempatan termasuk dua wanita dan empat warga asing.

Salah seorang daripada warga asing itu adalah seorang wanita yang berstatus pemastautin tetap, katanya.

“Hasil serbuan, polis berjaya merampas pelbagai barang antaranya tujuh kenderaan, wang tunai RM51,170, 72, unit telefon bimbit, sembilan buah komputer dan pelbagai barangan berharga termasuk sejumlah jam tangan mewah dan berjenama selain 61 keping kad debit pelbagai bank yang dipercayai milik peminjam, cek pelbagai bank serta salinan rekod peribadi peminjam mereka.

“Siasatan polis mendapati kesemua suspek menganggotai 10 sindiket berlainan dan bergiat aktif di negeri ini antara dua minggu hingga setahun yang lalu.

Sejumlah besar wang dan jam tangan berjenama yang dirampas daripada 38 ahli anggota 10 sindiket ah long yang ditumpaskan polis dalam operasi khas antara 3 hingga 8 Jun lalu di sekitar Selangor. ihsan IPK Selangor.

“Suspek menggunakan pelbagai medium bagi menarik mangsa termasuk poster, kain banting yang digantung di kawasan tumpuan awam selain menampal dan mengedarkan risalah dalam peti surat setiap rumah atau kenderaan,” katanya dalam sidang media secara maya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Arjunaidi menambah, sindiket terbabit mengesan dan memperdaya mangsa dengan memberikan pinjaman wang dengan tawaran kadar faedah agak tinggi iaitu antara 10 hingga 15 peratus sebulan kepada peminjam terdesak.

Beliau juga mendedahkan bahawa, ada dalam kalangan sindiket yang ditangkap itu berkemampuan memberi pinjaman wang kepada pelanggan sehingga mencecah sehingga RM1 juta.

“Siasatan lanjut kami juga mendedahkan ada antara sindiket ini terlibat dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud dengan menawarkan pinjaman di media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram.

“Rekod polis menunjukkan sindiket berkenaan terlibat dalam enam kes pinjaman tidak wujud di negeri lain yang mana mereka menggunakan modus operandi memperdaya mangsa membayar sejumlah wang untuk membuat pinjaman yang kemudiannya tidak menerima pinjaman wang yang dijanjikan sindiket itu.

“Semakan lanjut ke atas mereka juga mendapati 17 daripadanya mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau membabitkan penipuan dan juga kesalahan di bawah pinjaman wang,” ujar beliau.

Kesemua suspek telah direman untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Tegas Arjunaidi, berikutan rampasan wang tunai daripada sindiket ini, mereka turut disiasat oleh pasukan polis Akta Penggubahan Wang Haram.

Katanya, polis akan terus berusaha menyekat aktiviti yang mengganggu gugat orang awam yang terdesak memerlukan pinjaman wang dan akan cuba sedaya upaya untuk menyekat terus sindiket seumpama aktif di negeri tersebut.

“Siasatan polis mereka tiada rekod terlibat dalam secret society kecuali pernah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan sebagainya.

“Malahan, sindiket berkenaan juga berperanan menjalankan aktiviti meminjam wang kepada mangsa tanpa lesen atau menyalahgunakan lesen yang diperoleh misalnya tidak mengikut peraturan dan syarat perlesenan pinjaman wang itu,” ujarnya.- MalaysiaGazette