KUALA LUMPUR – Malaysia masih perlahan dalam melengkapkan vaksinasi kepada rakyatnya berbanding negara lain yang telah mencapai imuniti kelompok.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, di negara ini, sekitar beberapa peratus sahaja yang telah lengkap divaksin sehingga 11 Jun lalu, iaitu 2.9 juta telah menerima dos pertama, manakala cuma 1.2 juta melengkapkan dos kedua.
“Rakyat Malaysia dianggarkan lebih 32 juta dan jika pun separuh perlu divaksin segera sudah 16 juta.
“Ini menunjukkan kita sangat perlahan dibandingkan negara lain yang telah pun mencapai imuniti kelompok.
“Jika keadaan ini berterusan berapa lama lagikah sebelum Malaysia dapat mencapai imuniti kelompok? Sedangkan masyarakat negara lain telah pun kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” soal beliau menerusi hantaran terbaru di Facebooknya.
Beliau berkata, ekonomi negara yang telah mencapai imuniti kelompok telah kembali bergerak secara normal dengan rakyatnya mula bebas ke sana sini.
Katanya, sampai bila Malaysia perlu berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi PKP dan Ordinan Darurat yang menggantung demokrasi?
Namun, kata beliau, apabila ada pihak cuba mempersoalkan isu itu, mereka dituduh bermain politik dan akhirnya rakyat juga dipersalahkan.
“Walhal hampir 14 juta rakyat Malaysia telah pun mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19. Mahu kata ramai rakyat enggan ambil vaksin apa lagi?
“Walaupun jumlah yang mendaftar agak tinggi, tetapi sebahagian besar mereka belum dipanggil menerima suntikan.
“Banyak rungutan seperti ibu bapa sudah berusia 60an dan ada penyakit belum terima vaksin walau telah lama mendaftar. Tidakkah kita patut cemburu pada negara lain dan mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan sendiri menyatakan sangat terbeban dengan kesan Covid-19, tetapi sistem pemberian vaksin yang perlahan langsung tidak membantu permasalahan itu.
Sepatutnya, kata beliau, 14 juta rakyat Malaysia yang telah mendaftar itu telah pun selesai divaksin kerana akan memberi sokongan moral dan psikologi kepada yang lain untuk turut mendapatkan vaksin.
Beliau menggesa kerajaan memperluaskan Pusat Pemberian Vaksin bagi memudahkan akses rakyat menerima suntikan.
“Mungkin boleh terus ke setiap komuniti. Siapa yang telah daftar dan layak di situ diberi suntikan.
“Jika negara lain mencapai imuniti kelompok bulan lepas, Malaysia wajar mencapainya bulan depan. Kita tidak boleh menuding isu kelewatan ini kepada petugas barisan hadapan.
“Mereka berkhidmat siang dan malam mengikut sistem, ketetapan dan dasar yang dibuat kerajaan,” katanya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri ini menyeru sukarelawan UMNO di seluruh negara untuk terus membantu rakyat dengan mempertingkatkan usaha menggerakkan penduduk setempat mendaftar dan mengambil vaksin.
“Semoga sumbangan kita diangkat oleh Allah sebagai amal jariah dengan pahala yang besar, namun sentiasa pastikan keselamatan diri semasa menabur berbakti,” katanya. – MalaysiaGazette