KUALA LUMPUR – Penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi mengakui bukan mudah untuk diberi kepercayaan menjadi penjaga gol utama pasukan sehingga akhirnya musim 2021 dilihat menyebelahi dirinya.
Mula beraksi bersama PJ City FC pada musim 2019, pemain muda berusia 26 tahun ini merupakan penjaga gol ketiga pasukan tatkala ketika itu bersaing sengit dengan Mohd Muhaimin Mohamad sebelum Kalamullah akhirnya mencuri perhatian selepas membantu kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Julai 2019.
Selepas itu, kelibat bekas penjaga gol Felda United ini mula ditagih untuk terus berada dalam skuad utama pada musim lalu dan tahun ini makin selesa mengawal gawang PJ City dalam 13 perlawanan setakat ini.
Bolos 14 gol dan berjaya melakukan clean sheet buat kali keenam, Kalamullah tekad ingin terus mempamerkan aksi garang sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung untuk berada setanding dengan penjaga gol lain yang lebih berpengalaman.
“Masa mula-mula saya bersama PJ City FC, saya hanyalah penjaga gol ketiga sahaja dan bukan mudah nak ambil tempat dalam skuad utama, bahkan waktu itu saya tidak terfikir lagi untuk berebut menjadi penjaga gol utama.
“Tetapi, apabila peluang diberi, saya akan pastikan ia tidak sia-sia dan saya berjaya buktikan kemampuan khusunya ketika berdepan lawan hebat seperti JDT, dan jurulatih K. Devan pada waktu itu mula percayakan saya.
“Tahun lepas juga adalah kali pertama saya tercalon dalam kategori Penjaga Gol Terbaik di ABK (Anugerah Bolasepak Kebangsaan), dan saya tidak mahu mensia-siakan apa sahaja peluang yang diberi.
“Musim ini saya tidak pernah ketinggalan beraksi dalam kesemua 13 perlawanan, jadi saya harap kami akan lebih fokus untuk bantu pasukan dan saya juga ingin terus beri komitmen tinggi untuk pasukan ini,” katanya.
PJ City FC masih lagi belum melakukan latihan secara Camp Based Training dan semua pemain lebih banyak menjalani latihan menerusi dalam talian bersama barisan kejurulatihan.
Menyifatkan rutin latihan yang dilakukan adalah sama seperti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, Kalamullah menganggap barisan pemain sudah mampu membiasakan diri dengan situasi ini dalam memastikan tahap kecergasan mereka tetap terjaga.
“Sekarang memang kami banyak buat latihan menerusi applikasi Zoom sahaja bersama jurulatih, dan rasanya dalam beberapa hari lagi mungkin kami akan mula berlatih secara Camp Based.
“Nak ikutkan, PKP tahun lepas dengan tahun ini juga tidak jauh bezanya di mana kami boleh mengharunginya untuk berlatih sendiri dan kami sudah berlatih secara dalam talian hampir dua minggu sekarang.
“Jadi, tiada masalah dan selepas ini kami akan mula berkumpul kembali untuk berlatih bersama-sama di padang,” tambahnya.
PJ City FC sekarang berada di tangga kelapan Liga Super selepas 13 perlawanan dengan 15 mata dan mereka akan kembali beraksi pada 24 Julai menentang Sabah FC. – MalaysiaGazette