KUALA LUMPUR – Pasar Borong Kuala Lumpur di sini telah bertukar kecoh apabila sekumpulan lelaki disyaki pekerja pasar terlibat dalam insiden pergaduhan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku semalam sekitar jam 4.30 petang.

Katanya, polis mengesan penularan pautan video itu dalam Facebook We Are Malaysian (http://www.facebook.com/357582290930791/post1430297130305 8517/?sfrisn=mo) sekitar 10.30 pagi tadi yang memuat naik tiga video tentang pergaduhan di Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Video berdurasi seminit dua saat yang tular di media sosial itu menunjukkan sekumpulan lelaki yang merupakan pekerja sedang menjerit-jerit dan tolak-menolak antara satu sama lain.

“Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan perselisihan faham antara dua pihak berkenaan isu menolak bakul sayur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, polis pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP)  tiba lokasi kejadian sejurus selepas menerima maklumat tentang pergaduhan tersebut dari awam.

Bagaimanapun sejurus pihak polis tiba di tempat kejadian mendapati pergaduhan tersebut telah selesai, katanya.

Siasatan lanjut polis juga mendapati tiada sebarang senjata digunakan dalam pergaduhan tersebut dan polis telah membuka kertas siasatan dan sedang disiasat di bawah Seksyen 160 KK iaitu gaduh gempar di tempat awam.

Polis juga menyiasat kes di bawah Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan bagi tindakan kompaun.

“Individu-individu yang terlibat telah dikenalpasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan polis dalam waktu terdekat,’ katanya.

Menurut Eng Lai, orang ramai dinasihati supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman awam dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang insiden boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” tegasnya. – MalaysiaGazette