Najib Razak

KUALA LUMPUR – Menyedari kadar vaksinasi negara rendah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini muncul membantu usaha kerajaan mengoptimumkan imuniti kelompok.

Beliau berkata, jumlah rakyat yang mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hanya sekadar 13 juta berbanding 32 juta rakyat di negara ini.

Justeru itu, Najib berkata, sasaran imuniti kelompok yang disasarkan kerajaan masih jauh dengan 17 juta lagi rakyat negara ini masih belum mendaftarkan diri untuk menerima vaksin.

“Saya ingin menyeru kepada semua agar mendatfarkan diri untuk divaksin. Di kawasan saya di Pekan juga mendapati bilangan pendaftaran masih perlu diusahakan dan boleh ditingkatkan lagi.

“Bagi saya sendiri, saya bersyukur kerana berkesempatan menerima vaksin pada dua bulan lalu. Saya tahu ada yang sebarkan macam-macam berita di WhatsApp selepas saya diberikan vaksin kononnya saya ada masalah kesihatan akibat vaksin. Ada yang kata saya di ICU kerana kesan sampingan vaksin.

“Ini tidak benar, badan saya juga tidak ada apa-apa mikrocip dan saya tidak menjelma jadi wolverine atau mana-mana mutan,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Najib juga mencadangkan kepada kerajaan agar menggerakkan usaha maksimum untuk pendaftaran vaksin dalam kalangan rakyat dan optimumkan kadar vaksinasi.

“Kita sudah kesuntukan masa dan berada di tahap yang amat kritikal saya berharap saudara saudari semua dapat sama-sama membantu menjayakan dua fokus utama kita ini,” katanya dalam video hampir lima minit itu.

Dalam pada itu, Najib berkempen yang vaksin adalah benteng utama rakyat negara itu untuk melawan penularan Covid-19.

“Vaksin ini penting untuk melindungi diri, ada yang menyoal mengapa perlu divaksin? Memandangkan ada kemungkinan akan dijangkiti Covid-19 juga benar tapi keberangkalian jangkitan amat rendah bagi mereka yang telah menerima vaksin.

“Jika dijangkiti pun, vaksin yang ada dalam tubuh badan akan melindungi kita dari simptom atau kesan mengancam nyawa,” katanya lagi.

Untuk rekod, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, PICK mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi semalam, dengan pemberian 197,963 dos sekali gus menghampiri sasaran vaksinasi harian yang ditetapkan kerajaan iaitu 200,000 dos sehari.

Dr. Adham berkata, daripada jumlah itu, seramai 142,890 individu menerima dos pertama manakala seramai 55,073 individu menerima dos kedua.

Sehingga kini, sebanyak 1,413,039 individu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan seramai 3,275,194 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah sebanyak 4,688,233. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast