Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Sivil menggesa kerajaan agar membuka sidang Parlimen dan menamatkan darurat dengan kadar segera dalam usaha menyelesaikan krisis Covid-19 yang sedang melanda negara.

Menurut mereka, sidang parlimen hendaklah diadakan dengan segera supaya ahli-ahli parlimen dapat berperanan khususnya dalam melaksanakan amalan semak imbang dengan berkesan.

Darurat ditamatkan dan tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

Menurutnya, ahli-ahli parlimen merentasi parti perlu mengetepikan perbezaan politik dan bersama-sama berganding bahu untuk menangani krisis kesihatan Covid-19, memulihkan ekonomi serta menyelesaikan krisis pendidikan dan krisis sosial yang melanda negara.

Semua pihak, khususnya pihak kerajaan, hendaklah berjiwa besar dan bersikap terbuka dengan melibatkan semua ahli parlimen di dalam usaha menangani krisis-krisis yang melanda.

Selain itu, katanya, NGO dan Pertubuhan Masyarakat Sivil serta golongan profesional, teknokrat dan pakar bidang hendaklah dilibatkan secara aktif dalam usaha untuk menangani krisis kesihatan Covid-19 dan krisis-krisis lain yang sedang melanda.

Kumpulan-kumpulan ini sewajarnya diberi peranan untuk bersama-sama menyumbang ke arah pemulihan negara, tambahnya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu disokong oleh 41 NGO iaitu:

1. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
2. Akademi Literasi Politik (SHIELD)
3. Aliran
4. All Women’s Action Society (AWAM)
5. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
6. Demokrat Kebangsaan
7. G25 Malaysia
8. Gabungan Bertindak Malaysia
9. IMAN Research
10. Interactive Muslimah Association (IMAN)
11. Kuala Lumpur And Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
12. Kuala Lumpur & Selangor Indian Chamber of Commerce & Industry (KLSICCI) Women Entrepreneur Development Committee( WEDC)
13. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
14. Malaysia Indian Woman Entrepreneurs and Professional (MiWEPs)
15. Muslim Professionals Forum (MPF)
16. Pendidikan Ikram Musleh Bhd (IKRAM Musleh)
17. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
18. Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni Malaysia)
19. Persatuan Akademia IKRAM Malaysia (IKRAM Academia)
20. Persatuan Kebajikan Aafiyah Shah Alam
21. Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)
22. Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT)
23. Persatuan Penduduk Petaling jaya (MYPJ)
24. Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM)
25. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
26. Pertubuhan al-Nur Negeri Kelantan
27. Pertubuhan Muafakat Sabah
28. Pertubuhan Iqra Malaysia
29. Pertubuhan Mawaddah Malaysia
30. Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA)
31. Pertubuhan Pendidikan Progresif Kuching
32. Pertubuhan Penulis Isu Isu Wanita Nasional (PENAWAN)
33. Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Kesinambungan Malaysia
34. Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI)
35. Projek Wawasan Rakyat (POWR)
36. Research And Information Centre On Islam (RICOI)
37. Sisters in Islam
38. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
39. Yayasan Atfal Jannah
40. Yayasan Ikram Malaysia
41. Yayasan Takmir Pendidikan

NGO berkenaan menambah, pihaknya amat prihatin dan bimbang dengan krisis kesihatan Covid-19 yang telah membawa kepada pelbagai implikasi negatif terhadap ekonomi dan sosial rakyat jelata.

Sejak perintah darurat berkuatkuasa dari bulan Januari 2021, wabak Covid-19 bukan sahaja tidak pulih malahan menjadi semakin melarat dengan pertambahan kes yang tidak terkawal, peningkatan jumlah kematian dan beban berat yang menimpa sistem kesihatan negara.

Katanya, pada awal bulan Jun 2021, kerajaan sekali lagi terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perkara ini telah menimbulkan kerisauan dan pelbagai kesukaran kepada rakyat pelbagai lapisan.

Jelasnya, penguatkuasaan perintah darurat sehingga kini gagal untuk menangani wabak Covid-19.

Mereka menegaskan, tanpa semak dan imbang yang berkesan, perintah darurat telah merosakkan amalan demokrasi berparlimen. Hal ini telah membawa kepada tindakan-tindakan sewenang-wenang oleh pihak eksekutif tanpa akauntabiliti yang diperlukan.

Penguatkuasaan perintah darurat tidak memberi kesan positif kepada pengurusan krisis kesihatan Covid-19.

Sehubungan itu, negara bukan sahaja mengalami krisis kesihatan, malahan juga krisis ekonomi dan sosial yang semakin meruncing, sekali gus menyebabkan leadaan ekonomi rakyat terus terbeban tanpa pembelaan sewajarnya.

Kesejahteraan institusi keluarga terancam menyebabkan pelbagai masalah psikologi dan sosial.

Tambahnya, pendidikan anak-anak pula terjejas khususnya dari isi rumah yang tidak mempunyai peralatan atau kemudahan Internet.

Selain itu, kadar vaksinasi Covid-19 masih jauh untuk mencapai tahap imuniti kelompok yang membolehkan sektor ekonomi, sosial dan pendidikan dibuka semula.

Mengambil kira situasi politik yang amat tidak menentu, NGO tersebut berpandangan parlimen adalah medan terbaik untuk menyelesaikan krisis ini. – MalaysiaGazette