KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi yang bertindak sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu dirangka selepas pertimbangan sebaik mungkin dibuat bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat.
Katanya, pelan tersebut merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
“Ia juga mengambil kira ancaman Covid-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital.
“Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun back to normalcy,” katanya dalam pengumuman khas Pelan Pemulihan Ekonomi yang disiarkan di laman sosial.
Menurut Perdana Menteri, peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung Julai ini serta peningkatan kadar pemberian vaksin harian membuatkan kerajaan lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.
Keadaan itu, kata Muhyiddin, amat berbeza sekali dengan situasi lebih setahun yang lalu apabila kerajaan melaksanakan PKP buat kali pertama di mana ketika itu tiada vaksin dan satu-satunya jalan keluar ialah lockdown dan tindakan kesihatan awam untuk memutuskan rantaian jangkitan.
Jelas Muhyiddin lagi, dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak dan pelaksanaan proses vaksinasi yang semakin rancak, negara telah dapat melihat sinar yang lebih terang di hujung terowong.
“Pada permulaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kadar vaksinasi adalah sekitar 5 ribu hingga 8 ribu dos sehari dan telah meningkat ke 50 ribu hingga 80 ribu sekitar bulan Mei.
“Malah semalam, kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos dan saya yakin usaha ini akan terus dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari dalam bulan-bulan mendatang,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, dengan perkembangan positif kadar vaksinasi harian, ia memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa Pelan Pemulihan Negara dapat kita jayakan bersama.
“Ini kerana, lebih ramai yang dilindungi dengan vaksinasi, semakin longgar kawalan pergerakan yang boleh kita laksanakan, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka, dan kita boleh mula beralih secara teratur dan selamat kepada norma kehidupan pra pandemik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette