Gambar hiasan

DALAM memastikan amalan demokrasi terlaksana dengan baik di Malaysia, prinsip
“satu orang, satu undi” digunakan demi sebuah kesaksamaan politik. Setiap
warganegara Malaysia yang telah mendaftar sebagai pengundi boleh memberikan
undi bagi setiap bahagian pilihan raya.

Apakah itu bahagian pilihan raya?

Bahagian pilihan raya terdiri daripada 3 komponen utama iaitu:

1) Bahagian pilihan raya persekutuan (dikenali dengan nama ‘kawasan Parlimen’, diwakili oleh seorang Ahli Dewan Rakyat dan terdiri daripada gabungan beberapa kawasan DUN kecuali bagi Wilayah Persekutuan yang   hanya mempunyai kawasan Parlimen sahaja.)

2) Bahagian pilihan raya negeri (dikenali sebagai “kawasan DUN”, diwakili oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dan terdiri daripada gabungan beberapa Daerah Mengundi).

3) Daerah Mengundi (kawasan kecil dalam bahagian pilihan raya Negeri atau
Persekutuan, kecuali Wilayah Persekutuan)

Meskipun setiap pengundi mesti memilih wakil kawasan Parlimen dan kawasan DUN
di mana dia mendaftar sebagai pengundi yang sah, tidak semua undi mempunyai nilai yang sama. Sebagai contoh dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (2018), YB Wong Chen, Ahli Parlimen Subang telah memenangi kerusi P104 Subang di mana jumlah pengundi berdaftar di kawasan Parlimen tersebut adalah seramai 126,883 orang berbanding YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memenangi kerusi P125 Putrajaya yang memiliki hanya 24,881 orang pengundi berdaftar. Ini bermaksud, untuk memilih seorang  Ahli Parlimen, bilangan pengundi di Subang adalah lima kali ganda lebih ramai berbanding di Putrajaya.

Dalam erti kata lain, satu suara rakyat di Putrajaya bersamaan dengan lima suara rakyat di Subang. Pengundi di Subang ‘kurang diwakili’ sementara pengundi di Putrajaya ‘terlebih diwakili’. Berdasarkan persampelan salah satu kes perbandingan kesaksamaan undi ini, maka adalah wajar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula pembahagian Persekutuan dan Negeri-negeri agar perwakilan seorang Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri dapat membawa suara rakyat dengan bilangan yang sama atau hampir sama banyak.

Ini termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 113. Perjalanan Pilihan Raya; “(2) (i) Tertakluk kepada perenggan (ii), Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, dari semasa ke semasa, sebagaimana yang difikirkannya perlu, mengkaji semula pembahagian Persekutuan dan Negeri-Negeri kepada bahagian pilihan raya dan mengesyorkan apa-apa perubahan mengenainya yang difikirkannya perlu supaya dipatuhi peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas; dan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan-Dewan Undangan hendaklah dijalankan pada masa yang sama dengan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan Rakyat”.

Jadual Ketiga Belas merupakan peruntukan yang berhubungan dengan penyempadanan bahagian-bahagian pilihan raya. Ini dihuraikan dalam sub-seksyen; 2(c) bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak. Kecuali dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran laincdihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya.

Nilai undi yang tidak saksama

Persempadanan semula terakhir dilakukan pada Mac 2018 sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan. Urusan kajian semula persempadanan dibuat oleh SPR selepas selang tempoh lapan tahun telah berlalu, selaras dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan. Pada 2018, sebanyak 98 kawasan Parlimen mengalami perubahan dari segi sempadan atau nama, dengan melibatkan 12 kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Persempadanan 2018 ini tidak menampakkan perubahan ketara. P.104 Kelana Jaya berubah nama menjadi Subang. Malah jumlah pemilih pada 2013, 86,571 orang meningkat ke 126,883 orang (peningkatan 146%!). Sekadar memberikan contoh, P.104 Subang ini sudah boleh dipecahkan menjadi dua bahagian pilihan raya persekutuan agar suara setiap rakyat dapat diwakili dengan saksama.

Manipulasi instrumen di bawah Barisan Nasional

Mengapa SPR tidak meminda bahagian pilihan raya menurut Jadual Ketiga Belas
2(c) di atas? Ini adalah satu pelanggaran kesaksamaan politik. Kita perlu telusuri
sejarah manipulasi SPR sebagai instrumen kerajaan Barisan Nasional sejak
tahun 1962.

Dalam perlembagaan asal tahun 1957, bilangan pengundi di kerusi terkecil dan
paling besar tidak dibenarkan melebihi 15 peratus daripada purata nasional. Ini
bermakna jika purata bilangan pengundi nasional di kerusi parlimen adalah 10,000,
kerusi parlimen terbesar akan mempunyai maksimum 11,500 pengundi; manakala
kerusi parlimen terkecil akan mempunyai minimum 8,500 pengundi.

Angka ini dinaikkan kepada 33.33% dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) 1962. Ia
kemudiannya dikeluarkan sepenuhnya pada tahun 1973 melalui satu lagi pindaan
perlembagaan yang memberikan kuasa penuh kepada SPR untuk melakukan
persempadanan kawasan pilihan raya.

Kembalikan kebebasan SPR!

Jika dilihat sepintas lalu, pindaan perlembagaan 1973 ini memberi ruang kepada
SPR untuk lebih mematuhi prinsip persempadanan kawasan pilihan raya yang
digariskan di dalam Jadual Ketiga Belas 2(c), yakni; memastikan bilangan pemilih
adalah sama banyak di setiap bahagian pilihan raya.

Malangnya, sebaliknya telah berlaku. Kesaksamaan undi masih tidak dapat dicapai
kerana SPR tidak benar-benar bebas. Terdapat satu lagi pindaan pada tahun 1962
di mana ia mewajibkan usul persempadanan yang disyorkan oleh SPR dihantar
kepada perdana menteri dan kelulusan daripada Parlimen diperlukan untuk setiap
cadangan persempadanan.

Dengan dua syarat ini, apa jua usul yang disyorkan SPR perlu mendapat ‘restu’ kerajaan memerintah dan ini sudah tentunya membuka ruang kepada usul persempadanan semula yang berat sebelah yang akan menguntungkan parti pemerintah.

Maka, tulisan ini bertujuan memberi kefahaman bahawa urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya tidak mungkin boleh berlaku dengan saksama selagi tidak mengembalikan kuasa Parlimen dalam membahaskan dan menolak cadangan SPR yang justeru perlu bebas dari manipulasi mana-mana tangan ghaib politik.

Oleh: Anfaal Saari
Elia Nadira Sabudin
Syafiqah Sulaiman