KEPALA BATAS – Seorang lelaki diberkas bersama dadah jenis heroin selepas bertindak merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Pinang Tunggal, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, suspek dikatakan cuba melarikan diri selepas merempuh SJR itu namun tindakannya gagal akibat motosikal yang ditungganginya itu terbabas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 43 tahun yang menunggang motosikal jenis Demak Evo itu dari arah Pinang Tunggal, Kedah menuju ke Kepala Batas.
Jelas beliau, ketika sampai di SJR berkenaan suspek yang bekerja sebagai buruh enggan memberhentikan motosikal dan memecut laju.
“Disebabkan gagal mengawal motosikalnya, suspek terbabas dan cuba melarikan diri sekali lagi, susulan itu berlaku pergelutan antara dia dengan anggota polis bertugas di lokasi sebelum dia berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan polis menemui dadah jenis heroin di dalam poket suspek,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, selain kesalahan memiliki bahan terlarang itu, lelaki berkenaan juga gagal memberi alasan munasabah dan surat kebenaran rentas negeri.
“Suspek dikenakan kompaun kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan dan kini direman untuk tindakan lanjut atas kesalahan memiliki dadah.
“Semakan lanjut juga mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya Noorzainy. – MalaysiaGazette