KUALA LUMPUR – UMNO menyarankan kerajaan menyerapkan kira-kira 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak yang kini menjadi barisan hadapan memerangi Covid-19 ke jawatan tetap.
Semua mereka yang dijanjikan lanjutan kontrak sehingga tahun 2022, ada menjalankan tugas saringan dan memberi suntikan vaksin kepada masyarakat bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, betapa besar jasa dan pengorbanan para petugas kesihatan kepada rakyat dan negara.
Justeru, katanya, lebih elok kerajaan menyerapkan terus ke jawatan tetap memandangkan khidmat mereka sangat diperlukan dalam perang melawan pandemik.
“Saya ada melihat di laman sosial Facebook semalam beberapa gambar petugas kesihatan. Kelihatan mereka bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19. Ada juga yang menjalankan tugas saringan dan memberi suntikan vaksin kepada anggota masyarakat.
“Bukankah lebih elok mereka ini diserap terus sekarang memandangkan khidmat lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat terbabit sangat essential dalam perang melawan Covid-19,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Ahmad Zahid berkata demikian memandangkan kenyataan sebelum ini dimaklumkan kontrak mereka hanya sampai tahun depan sahaja.
“Selepas tempoh tersebut tiada siapa tahu apa status mereka seterusnya, mungkin kontrak perkhidmatan disambung lagi atau ditamatkan.
“Sedangkan, khidmat mereka sangat diperlukan bagi memastikan sistem kesihatan tidak runtuh dan beroperasi dengan berkesan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Jelas beliau, kemahiran, pengetahuan dan pengalaman mereka perlu dimanfaatkan dengan diberi pengiktirafan sewajarnya selaku penjawat awam.
Ini selaras dengan kebimbangan kerajaan mengenai sistem penjagaan kesihatan negara yang berada dalam tekanan amat luar biasa.
“Jangan terlalu berkira dalam soal ini kerana keberadaan setiap pegawai perubatan dan jururawat terbabit bermakna lebih baik penyampaian perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.
“Terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 di Malaysia yang masih buruk berbanding banyak negara lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette