KUANTAN – Seorang lelaki Orang Asli yang bergari berjaya meloloskan diri dengan bertindak terjun ke dalam sungai di Kampung Kuala Betis, Gua Musang.
Kejadian itu berlaku tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Timbalan Superintendan Sik Choon Foo yang mengesahkan insiden tersebut berkata, kejadian itu berlaku ketika tahanan dalam perjalanan menunjukkan lokasi barang kes curi yang disimpannya.
Suspek diiringi beberapa orang anggota polis.
Tambahnya, suspek ditahan kerana didakwa melakukan pecah rumah.
“Kita buat tangkapan ke atas suspek ekoran kejadian pecah rumah dan bila kita soal siasat, dia mengaku jual barang curi.
“Kami terus ke lokasi suspek menjual barang curi,” katanya.
Usaha mengesan lelaki itu masih diteruskan oleh anggota polis hampir tiga jam pada malam kejadian namun gagal.
Laluan ke Perkampungan Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang“Ini bukan kecuaian kerana kita terus buat siasatan apabila suspek memberi kerjasama pada awalnya,.
“Anggota kami terus berusaha mengenalpasti lokasi barang kes namun kejadian ini berlaku di luar jangkaan,” tambahnya.
Choon Foo berkata, arus sungai yang deras dan keadaan gelap pada tengah malam menyebabkan pencarian disambung pada pagi Isnin dengan bantuan orang kampung, pihak Bomba dan APM,” jelasnya ketika dihubungi MalaysiaGazette
Usaha memburu suspek diteruskan dengan bantuan K9 Unit Anjing Pengesan dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan di perkampungan Orang Asli tersebut sehingga hari ini.
Choon Foo berkata, berdasarkan sumber orang kampung, suspek berjaya menyelamatkan diri setelah terjun ke dalam sungai dan ada meminta bantuan orang kampung untuk membuka gari.
“Namun orang kampung tidak berani untuk memberi kerjasama dan terus memaklumkan kepada pihak polis bahawa tahanan masik hidup.
“Polis mempergiatkan operasi memburu suspek sehingga ke dalam hutan berhampiran dan menjumpai gari yang telah terbuka,” ujarnya. – MalaysiaGazette