Penguat kuasa KPDNHEP memantau dan memeriksa harga sayur di beberapa pasar awam di seluruh negara termasuk di Putrajaya. Ihsan KPDNHEP.

KUALA LUMPUR – Harga sayur-sayuran secara umumnya didapati masih stabil dan terkawal tanpa sebarang kenaikan kecuali harga tomato dan Timun Jepun.

Kedua-duanya mengalami kenaikan antara 15 hingga 30 peratus.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan perkara itu menerusi hasil pemantauan yang dilakukan susulan laporan yang diterima berkenaan kenaikan harga sayur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands, Pahang.

Pun begitu, menurutnya, pihak berkenaan mengesahkan kenaikan harga bagi beberapa jenis sayuran dikenal pasti berlaku peringkat nasional.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas beberapa pasar-pasar awam dan pasar raya di sekitar Putrajaya bagi melihat jenis-jenis sayur yang dihasilkan oleh para pekebun-Cameron Highlands seperti tomato, Timun Jepun, cili, kobis, kacang buncis, capsicum dan salad.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap beberapa pasar awam tersebut mendapati, sayuran jenis tomato dan timun jepun yang mengalami kenaikan harga iaitu antara 15 hingga 30 peratus manakala sayuran jenis lain dilihat harga masih stabil.

“Pemantauan seterusnya yang dilakukan di salah sebuah pasar raya di Putrajaya pula mendapati harga semua jenis sayuran masih lagi stabil seperti harga sebelum ini tanpa sebarang kenaikan yang ketara.

“Selain itu, maklumat harga yang direkodkan oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP pula mendapati, kenaikan harga bagi beberapa jenis sayuran dikenalpasti di peringkat nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPDNHEP memantau dan memeriksa harga sayur di beberapa pasar awam di seluruh negara termasuk di Putrajaya. Ihsan KPDNHEP

Menurut Azman, sayur-sayuran yang dikesan mengalami kenaikan harga peringkat nasional adalah jenis tomato (8.33 peratus), sawi (2.91 peratus), timun (2.08 peratus), Kubis Bulat Tempatan (2.73 peratus), Kailan (2.37 peratus), kangkung (2.29 peratus), brokoli (2.27 peratus) dan capsicum (2.07 peratus).

Beliau menambah, situasi bekalan sayur-sayuran dilihat masih stabil di semua pasar-pasar awam dan pasar raya sekitar Putrajaya.

Bagaimanapun Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan bekalan sayur-sayuran tertentu ekoran pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands.

Beliau memaklumkan para pegawai penguat kuasa KPDNHEP  seluruh negara akan terus menjalankan pemantauan ke atas harga sayur dan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 sekiranya suatu perbadanan/syarikat dan bagi bukan perbadanan/ individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pengguna boleh menyalurkan maklumat aduan berkaitan salahlaku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP secara rasmi melalui saluran aduan yang disediakan,” ujarnya.

Saluran aduan yang disediakan KPDNHEP untuk memudahkan pengguna menyalurkan maklumat adalah Portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, Emel [email protected],Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 dan Whatsapp 019-279 4317.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast